Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

30 May 2011

ALFATIHAH ..kembalinya seorang ahli MAJLIS JEMAAH BAHTERA SAMUDERA MALAYSIA ke Rahmatullah

GEMPAR : Assalamualaikum...kepada smua ahli jemaah..salah seorng adik beradik Majlis Jemaah BAHTERA SAMUDERA Malaysia  kita telah pergi meninggalkn kita iaitu Khusyairi Ikram bin Zainal Abidin....adinda Abang Long Amir Kuantan...yang mengalami nahas jalan raya (LANGGAR LARI)>Allahyarham meninggalkn kita pada 27 Mei 2011 jam 8 malam....sama-samalah kita sedekahkan Al-fatihah kepda rohnya semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman...insya allah


Al-Fatihah!!!!



Ingin memberikan sumbangan ikhlas amal jariah  untuk membantu meringankan beban keluarga & khairat kematian Allahyarham boleh hubungi Angah Shahrul Kosas secepat mungkin...Alfatihah... Wa innalillahiwainnailaihirojiun!!!
Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

26 May 2011

Asma al-Husna Sebahagian Daripada Tauhid

Umat Islam perlu berikhtiar, berakhlak mulia berpandukan sifat dan nama-Nya yang agung

Photobucket

NASYID al-Asma al-Husna yang sering bergema di telinga kita adalah motivasi rohani yang siap menghancurluluhkan hati supaya sentiasa ingatkan Ilahi, Sang Pencipta. Dalam nasyid itu ada permohonan yang tidak akan ditolak Allah SWT. Nas'aluka ya man huwallahu.

Al-asma al-husna adalah gabungan dua kata bahasa Arab al-asma dan al-husna.

Al-asma jamak ism ertinya nama, manakala al-husna adalah ialah nama yang berasal daripada al-hasan, baik atau indah. Jadi al-asma al-husna adalah nama baik atau indah.

Allah berfirman maksudnya:

"Hanya milik Allah al-asma al-husna , maka bermohon kepada-Nya dengan menyebut nama itu." (Surah al-A'raf: 180)

Dalam ayat ini tersirat apabila kita benar-benar mengenal dan memahami nama dan sifat Allah SWT serta berupaya menjadikannya sebagai sumber landasan hidup, maka dengan sendirinya keimanan kita tetap terjaga.
Al-asma al-husna ialah sifat Allah SWT yang sempurna.

Dalam hadis Abu Hurairah, ia berjumlah 99 nama iaitu 100 kurang satu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad) 

Daripada sudut bahasa hadisnya, sebahagian ulama berpendapat ia bukan penetapan nama Allah hanya 99 nama (takhshir), tetapi penerangan atau ikhbar kerana jika kita perhatikan nama dan sifat- Allah SWT, ia melampaui angka 99.

Al-Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya yang menjelaskan al-Asma al-Husna bertajuk Kitab al-Asna fi Syarh al-Asma al-Husna, menghimpun lebih 200 nama dan sifat. Imam Tabtabai dalam tafsir al-Mizan mengumpulkan lebih 127 nama dan sifat. Ibn Barjam al-Andalusi menghimpunkan 132 nama dan sifat. Bahkan Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyebutkan ada yang sudah mengumpulkan sampai 1000 nama dan sifat.

Sebenarnya, jumlah nama dan sifat Allah SWT yang kita baca dan dengar 99 itu hasil ijtihad ulama kerana dalam hadis Abu Hurairah tidak ditentukan secara nyata nama-Nya dan juga tidak ada perinciannya.
Pada akhir abad kedua hingga awal abad ketiga Hijrah, tiga periwayat hadis berijtihad dalam mengungkap 99 nama dan sifat itu. Mereka ialah al-Walid Muslim, Abdul Malik al-Shan'ani dan Abdul Aziz Hashim.

Mereka memerhati -ayat al-Quran, sunah Nabi dan pendapat ulama yang hidup pada zaman itu, akhirnya mengumpulkan 99 nama dan sifat. Daripada hasil usaha tiga periwayat hadis ini, susunan dan kumpulan 99 al-asma al-husna al-Walid Muslim (195H) paling terkenal seperti yang banyak ditemui hari ini yakni bermula daripada ar-Rahman disudahi al-Sabur.

Untuk mengetahui nama dan sifat Allah SWT, ulama menetapkan syarat seperti disebutkan Ibn Utsaimin dalam kitab al-Jami' li Asma Allah al-Husna.

Antara syarat itu, ar-Ridwani menjelaskan, nama berkenaan mesti mempunyai landasan nas al-Quran atau hadis sahih; ia boleh dibuktikan secara ilmiah serta sesuai dengan kaedah bahasa Arab; ia menggunakan isim mutlaq yang tidak disandarkan dengan kata lain; ia mesti mengandungi nama dan sifat yang sempurna; dan nama itu harus menunjukkan sifat Allah.


Dalam buku Asma'ul Husna for Success in Business & Life karangan Dr Muhammad Syafi'i Antonio (2009), seorang Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) menulis: "Bahawa karakter atau sifat yang kita sukai bersifat universal. Rata-rata umat manusia menyukai sifat baik dan benci dengan sifat buruk. Bahkan orang yang bersifat buruk pun sebenarnya tidak suka dengan sifat mereka, ternyata ada hubungan antara sifat baik dengan keberhasilan seseorang dan sifat buruk dengan kegagalan. Mereka yang berjaya lazimnya adalah orang yang mempunyai integriti, pekerja rajin, pantang menyerah, suka belajar, kreatif dan sifat baik lain. Sebaliknya, orang gagal biasanya mempunyai sifat pemalas, takut gagal, miskin ilmu, pemarah, kasar dan seterunya. (halaman 6)

Kesukaan dan kebencian manusia terhadap sifat tertentu di atas adalah kesepakatan sejagat.

Agustian (2007) menyatakan kesepakatan itu berasal daripada suara hati manusia yang pada dasarnya juga bersifat universal.

Dengan catatan manusia sudah bebas daripada belenggu fikiran. Hati dan fikiran yang jernih akan mampu mengenal pasti sifat mulia. Seperti ada daya tarikan, seseorang menyukai sifat baik berkenaan tanpa mampu menjelaskan mengapa atau alasan menyukainya.


Mengapa orang sukakan sifat yang baik? Mengapa pula tidak menyukai perbuatan buruk? Jawapan bagi pertanyaan ini dapat diberikan melalui pendekatan spiritual atau kerohanian.

Suara hati atau hati nurani adalah pancaran daripada sifat Ilahi yang sudah dipasang ke dalam tubuh manusia.

Sumbernya satu iaitu Allah SWT kerana itu, sifat berkenaan mempunyai ikatan yang erat. Seperti ada daya graviti, kita selalu tertarik dengan sifat terbaik yang dimiliki individu. Hal ini terjadi kerana sifat terbaik sebenarnya juga ada dalam diri kita.

Jauh sebelum teori moden mengungkap sifat baik bagi kejayaan seseorang, Allah SWT menerangkan dalam diri manusia ada sifat berkenaan yang dihembuskan-Nyadan bagi memahami sifat itu, Allah SWT memperkenalkan menerusi sifat yang dimiliki-Nya.

Semua sifat itu terungkap dalam al-Quran. Sifat inilah yang disebut al-asma al-husna atau nama baik atau indah. Kalangan ulama menyusun sifat berkenaan dalam pelbagai versi dan paling popular adalah 99 nama atau sifat Allah SWT itu.

Mengimani nama Allah SWT antara tiang keimanan kepada-Nya yang mencakupi keimanan ada Allah SWT; keimanan dengan rububiyyah; keimanan dengan uluhiyyah dan keimanan terhadap nama dan sifat Ilahi.

Dalam Islam, amalan mengetahui, memahami dan meyakini nama serta sifat Allah SWT memang berada pada kedudukan sangat tinggi. Seseorang tidak mungkin menyembah Allah SWT dengan sempurna sehingga dia mengetahui dan yakin dengan nama dan sifat-Nya. Berlandaskan pengetahuan dan keyakinan terhadap nama dan -sifat-Nya itulah, seseorang dapat menyertakan mata hatinya saat menyembah kepada Allah SWT.


Meyakini al-asma al-husna termasuk sebahagian daripada tauhid. Oleh itu, bagi memahami nama dan sifat-Nya harus menurut yang sesuai bagi Allah SWT tanpa tahrif (merubah lafaz dan menyelewengkan makna sebenar); tanpa taktil (pengingkaran seluruh atau sebahagian sifat dan zat Allah SWT); tanpa takyif (menanyakan bagaimana kewujudan fizikal Allah SWT) dan tanpa tamtsil (menyamakan Allah SWT dengan makhluk-Nya).

Pada hakikatnya, al-asma al-husna adalah milik Allah SWT semata-mata. Kita sebagai makhluk, hanya diperintah untuk berikhtiar dan berakhlak mulia berpandukan sifat dan nama-Nya yang agung. Apa pun ikhtiar kita pasti ada kekurangan. Segala usaha kita pasti banyak kesalahan. Namun, berdiam diri tanpa ikhtiar, jauh lebih silap lagi.

Wallahu a'lam

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Kematian Menyeksakan Bagi Orang Yang Tak Beriman


DARIPADA Abu Hurairah katanya: "Apabila roh orang mukmin keluar daripada tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit. Kata Hammad: Kerana baunya harum seperti kasturi
Kata penduduk langit: Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam. Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla.

Kemudian Allah berfirman: “Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

Kata Abu Hurairah selanjutnya: “Apabila roh orang kafir keluar dari tubuhnya, kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian, maka berkata penduduk langit:

Roh jahat datang dari bumi. Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Kematian sesungguhnya amat menyeksakan. Kematian orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang beriman.
Tanda-tandanya bukan saja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dapat melihat malaikat mencabut nyawa orang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata: Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar. (Nescaya kamu akan merasa sangat ngeri).” (Surah al-Anfal, ayat 50)

Rasulullah SAW sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakaratul maut. Itupun Baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat.

Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi itu.Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada supaya tidak tergolong di kalangan orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan dalam penjara sehingga hari kiamat.






Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Sudah Cukupkah Bekalan Kita?

UMUR pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Nabi, rasul iaitu manusia yang paling dekat dan menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.

Firman Allah bermaksud:



“Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.”
(Surah an-Nisaa’, ayat 78).

Persoalan mati adalah kejadian paling hebat yang tidak dapat dielakkan. Apabila seseorang manusia mati, ia dikatakan kiamat kecil kerana roh keluar daripada jasad yang akan busuk dan kembali menjadi tanah.

Kubur atau alam barzakh tempat permulaan alam akhirat. Seperti mana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh, alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, alam barzakh adalah episod ngeri dipenuhi azab hingga datangnya hari kiamat.

Pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit manusia yang bercakap mengenai kematian, alam berzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kerjaya dan kelazatan kehidupan dunia.

Saidina Ali berkata:

“Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Kesibukan mencari keseronokan dunia punca manusia lalai mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian.

Persoalan perkara ghaib seperti kematian, alam barzakh, hari kiamat, syurga dan neraka adalah hak Allah SWT yang tidak boleh dicerobohi manusia atau malaikat. Islam menetapkan dasar akidah dan perkara ghaib bersandarkan dalil al-Quran dan hadis sahih.

Dasar akidah bersumber qiyas, ilham manusia atau ramalan kosong seperti pengamal ajaran sesat adalah ditolak. Nabi dan malaikat hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan Allah SWT.


Kita sering bercakap mengenai kematian rakan.



Apakah kematian itu menimbulkan keinsafan untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan mencukupi menghadapi kematian yang pasti??


wallahu a'lam...
Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Laut Terbelah Di Korea

Laut terbelah di Korea.Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam


APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.

Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo. Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.

Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.




Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.




Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.



Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.


Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.
Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.

INFO: Laut terbelah Jindo
# Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
# Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
# Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
# Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.
# Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Mengapa Piring Astro Mengadap Kiblat?




Jelas, Kaabah bukan sekadar kiblat tetapi juga sebagai pusat tumpuan manusia dalam urusan dunia atau kehidupan. Contoh yang paling mudah sekali, tentu anda ada stesen televisyen berbayar iaitu Astro. Pastinya setiap Astro ada 'piring para bola' untuk menerima maklumat yang dipancarkan dari satelit. Untuk mendapatkan siaran yang jelas, piring itu akan dihalakan ke arah Kiblat atau Kaabah. Kalau tidak percaya cuba tengok balik piring Astro di bumbung anda menghadap ke mana?


KENAPA BEGITU? 


Mudah saja jawapannya Mekah adalah pusat bumi. Sama ada percaya atau tidak jawapannya mudah ditemui semasa kali pertama Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969. Di dalam satu temu bual di stesen TV Al Majid, Arab Saudi, Dr. Abd Al-Baset Al-Sayyed dari pusat Penyelidikan Kebangsaan Mesir mengulas, angkawasan pertama itu telah membuktikan, Mekah adalah pusat bumi.


Katanya ia telah dibuktikan secara saintifik semasa Neil Armstrong di dalam perjalanan ke bulan. Ketika itu dia berjaya mengesan satu radiasi yang dipancarkan dari bumi. Radiasi itu di dalam gelombang pendek. Situasi itu sesuatu yang pelik dan mereka cuba mencari jawapan dan membuat penelitian. Akhirnya mereka berjaya mengesan bahawa radiasi itu dipancarkan dari Mekah atau secara tepatnya dari Kaabah.


"Yang paling mengejutkan radiasi itu bersifat infiniti (tidak berpenghujung). Apabila Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, radiasi itu masih boleh dikesan. Radiasi itu mempunyai sifat yang istimewa dan paling penting ia infiniti. Saya percaya inilah yang menhubungkan Kaabah di bumi dengan Kaabah di alam akhirat.


"Bayangkan anda berada di kutub utara dan saya berada di kutub selatan,di tengah-tengah adalah zon keseimbagan magnet atau zon magnetisme sifar dan itulah Mekah. Kalau hendak dibuktikan boleh. bawa kompas ke Kaabah dan anda dapati jarum kompas itu tidak akan bergerak. Ini bermakna Kaabah adalah zon magnetisme sifar. Tarikan untuk ke dua-dua medan adalah sama kuat.


Hal sedemikian katanya, turut memberi kesan pada kesihatan dan umur seseorang. Sebab itulah orang yang tinggal di Mekah lebih sihat dan panjang umur. Tekanan graviti yang tertumpu di kawasan itu memberi kesan pada peredaran darah dan pergerakan biologi kehidupan.


"Ini telah dibuktikan bahawa ia boleh memberi kesan pada hemoglobin untuk membawa darah yang mengandungi oksigen ke seluruh tusi badan. Bermakna bila anda berada di Mekah, keupayaan darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan secara semula jadi jauh lebih baik berbanding tempat lain di dunia ini," jelasnya


Pelbagai bukti saintifik dari kajian para saintis juga telah membuktikan bahawa Kaabah berada di "Centre of the earth". Jika anda berkesempatan ke Mekah Al-Mukaramah cuba bawa kompas ke arah Kaabah dan lihat jarum kompas tersebut tidak akan menunjuk mana-mana arah sama Barat, Timur, Selatan atau ke mana-mana arah kerana Kaabah sememangnya berada di pusat atau ditengah-tengah bumi. Neil Amstrong juga mengesahkan fakta ini.


Maha Kaya Allah, dengan hanya melakukan Tawaf kesihatan kita akan bertambah baik. Tidak hairanlah jika ramai yang mengetahui rahsia ini sentiasa merindui untuk ke Mekah... Bagi yang bukan Islam kaji-kajilah fakta ini dan anda pasti akan mendapat kebenaran-Nya. Marilah kita belajar ilmu dan mengkaji Islam yang amat indah ini..
Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Hina Islam : ABIM Gesa Tindakan Tegas




Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mahu tindakan tegas diambil ke atas blog dan laman Facebook yang menggunakan nama 'Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara' kerana jelas menghina imej serta kesucian agama Islam.

abimSetiausaha agungnya Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, bahan-bahan yang dimuatkan itu menggambarkan niat jahat dan berbentuk provokasi.

“Tindakan ini amat dikesali dan jelas-jelas telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Abim beserta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah membuat laporan polis di balai Dang Wangi.

Selain tulisan yang mencaci agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, turut disiarkan dalam blog berkenaan adalah beberapa gambar palsu yang menghina Kaabah yang ditampal dengan gambar binatang, jerung dan juga penyanyi barat yang berpakaian seksi.

NONESehubungan itu, Abim juga kata Mohamad Raimi, Abim mahu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib segera menyiasat secara terperinci insiden berkenaan.

“Abim menuntut agar dakwaan dan tindakan tegas dikenakan terhadap penulis itu dan mana-mana pihak yang bersubahat.

“Abim juga dengan ini mendesak agar pemohonan maaf dikeluarkan secara rasmi dan terbuka oleh beliau terhadap seluruh umat Islam,” katanya.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

24 May 2011

Takziah Buat Mangsa Tanah Runtuh Di Hulu Langat

Kami Ahli Majlis Jemaah Bahtera Samudera Malaysia mengucapkan takziah buat semua keluarga mangsa tanah runtuh di Hulu Langat yang berlaku di sekolah anak-anak yatim dan anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa , Batu 14 Hulu Langat.Semoga semua mangsa yang meninggal dunia ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman dan diampunkan segala dosa oleh Allah SWT...Al-Fatihah.



Senarai nama mangsa :
1) Azrel, 8,
2) Nael, 8,
3) Shahrul, 9,
4) Boboy, 10,
5) Farid, 34,
6) Zaim *
7) Angah *
8 ) Rahimi *
9) Zaid Ashwal, 18,
10) Riz, 9,
11) Lokman, 11,
12) Fahad, 9,
13) Aiman, 10,
14) Hazim, 9,
15) Mustakim *
16) Hasril, 11,
Sembilan yang terselamat:
1) Khairul, 9,
2) Hairis *
3) Harris *
4) Akmal *
5) Aizat *
6) Alaudin *
7) Irwan, 33,
8 ) Din, 30,
9) Syafiq, 23,
* umur tidak diketahui




















Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Solat Dan Kita




Apabila solat itu sendiri tidak dapat menjadi pencegah maksiat kepada diri kita, maka benarlah Roh solat itu sendiri tidak dapat meresapi diri manusia yang mendirikan solat itu. 

Seseorang muslim yang mengerjakan solat kebiasaannya menempuh tahap-tahap berikut : 

1. Tahap ilmu:

Seorang muslim setelah mengetahui kewajipan solat, kemudian mempelajarinya dengan telilti melalui ilmu Fiqh iaitu syarat wajibnya, sahnya, rukun-rukunnya, sunat-sunatnya, perkara-perkara yang membatalkannya dan sebagainya. Tetapi ilmu mengenainya tidak memadai sekiranya tidak disertai keyakinan dan amal. 

Ertinya ilmu hendaklah diselaraskan dan diselarikan dengan hati, akal dan perbuatan kita dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Apabila Allah memerintahkan kita mendirikan solat dan memberitahu kita bahawa kejayaan itu terletak pada solat, maka akal kita tidak boleh ragu dan was-was. Akal mesti mengakuinya. Tetapi bila akal sudah yakin, itu belum cukup. Kita mesti pergi ke tahap yang kedua. 

2. Tahap kedua: Menundukkan hati

Sekiranya akal kita sudah tahu secara keseluruhan tentang kepentingan solat tapi hati kita masih berat untuk mengerjakannya seolah-olah menganggap solat itu tidak penting. Sebab itu tahap kedua ini dinamakan tahap mujahadah. Iaitu bermujahadah supaya apa yang diselaraskan oleh akal dan ilmu itu juga diakui oleh hati. 

Kalau hati sudah tunduk, tandanya apa yang kita buat terasa lazat. Kalau tidak rasa lazat, kalau rasa menderita sahaja, terasa berat untuk mengadap Allah, maka hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh sehinggalah sampai ke peringkat ketiga. 

3. Tahap ketiga: Menjadi tabiat dan istiqamah 

Maknanya solat itu sudah menjadi amalan dalam hidupnya secara istiqamah. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi. Sebab itu di dalam Islam, para ibubapa hendaklah mengajar anak-anak solat seawal umur tujuh tahun lagi dan anak-anak tadi boleh dipukul ketika umur sepuluh tahun dan ke atas sekiranya mereka cuai dan meninggalkannya. 

Tujuannya supaya solat itu menjadi tabiat dan kebiasaannya sehingga ke akhir hayat. Kemungkinan juga saudara/ri terasa berat untuk mengerjakan solat kerana tidak merasai kebesaran dan keindahan solat itu sendiri. Bila membicarakan soal solat ini, kita tidak boleh menganggap bahawa kita sedang surut ke belakang semula. Sebenarnya tidak, kerana solat adalah perkara yang penting. 

Kalau hendak dilihat pada kepentingan solat adalah seperti berikut : 

Solat merupakan tiang agama: 

Jika iman diibaratkan akar tunjang bagi pokok, solat pula ialah batangnya. Kalau hendak mendirikan sebuah rumah, perlu ada tapak dan tiang-tiang serinya. Rumah tidak akan dapat dibangunkan kalau tidak ada tiang serinya. Begitulah Islam, tidak akan dapat dibangunkan jika solat tidak didirikan. Sebab itu dikatakan, solat adalah tiang agama. 

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama. Jadi, sekiranya kita memperumpamakan Islam itu sebagai rumah, maka Islam yang global itu umpama rumah yang serba lengkap. Mempunyai atap,tiang, dinding dan ada segalanya, maka tiang kepada Islam itu adalah solat. 

Sekiranya kita hendak membina Islam yang syumul, solat merupakan perkara pertama yang harus kita perkemaskan. Segala kerja kita dalam apa-apa bidang sekalipun sekiranya solat tidak kemas dan dicuaikan, maka kerja-kerja kita itu tidak membuahkan hasil yang baik. Kita sibuk dengan kerja, peranan dan khidmat sedangkan waktu itu kita semakin cuai dengan solat. Ertinya kita tertipu dalam hidup. 

Solat merupakan amalan yang mula-mula dihisab di akhirat: 

Solat merupakan perkara pertama yang diperiksa di akhirat. Jika solat baik dan sempurna, maka mudahlah pemeriksaan pada amalan-amalan selepasnya. Jika ia baik, baiklah amalan-amalan yang lain. Sebaliknya, jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain. 

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : 

"Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi &ldots;.." 
(Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ). 


Mengandungi ikrar setiap hamba: 

Di dalam solat ada ikrar yang dilakukan oleh setiap yang mengerjakannya kepada Allah SWT. Solat yang pertama adalah ikrar yang mula-mula sekali dibuat oleh hamba kepada Tuhannya. Solat yang kedua, ketiga dan seterusnya merupakan ikrar pembaharuan sahaja. Inilah kehebatan solat. Kerana sehari semalam ada 5 kali ikrar yang dibuat sebagai taat setia kepada Tuhan. 

Ikrar itu jelas di dalam doa iftitah iaitu ketika mengucapkan :

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah Tuhan sekalian alam"

Menggambarkan amalan-amalan para malaikat: 

Jumlah malaikat yang terlalu banyak itu beribadah kepada Allah dengan cara mereka yang tersendiri. Ada yang asyik sujud, ada pula yang asyik rukuk dan lain-lain. Para malaikat ini kekal dengan satu-satu amalan itu dengan istiqamah. Yang takbir, takbir sahaja. Begitulah yang bertasbih, asyik bertasbih sahaja. Tetapi dalam solat, manusia telah melakukan berbagai-bagai amalan para malaikat. Di sinilah kehebatan manusia berbanding dengan malaikat. Amalan manusia walaupun tidak sebanyak para malaikat tetapi kepelbagaiannya mengatasi amalan malaikat. 

Bermacam-macam bentuk ibadah: 

Dilihat dari bacaannya sahaja, bacaan solat terdiri daripada pelbagai bentuk yang mengandungi zikir, selawat, ayat Quran, hadis dan lain-lain. Bacaan Fatihah, adalah ayat Quran. Bacaan tahayyat diambil daripada hadis. Dalam solat juga ada tasbih, tahmid dan doa. 

Melibat seluruh anggota lahir dan batin: 
Solat melibatkan banyak anggota lahir dan batin manusia. Rukun Qalbi, Qauli dan Fi'li telah melibatkan hati, akal dan anggota badan manusia. Rukun Qauli misalnya, melibatkan lidah dan akal. Lidah menyebutnya, akal memahaminya.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Inilah persaudaraan dalam Islam

Seluruh umat Islam itu bersaudara tanpa dibatasi oleh warna kulit, kaum, loghat bahasa, kaya atau miskinnya, cacat atau sempurnanya.


Apakah kita sudah kenal erti persaudaraan sesama Islam?. 



Di zaman ini, kita bagaikan manusia yang hanya mengenal orang dengan berdasarkan wangnya, pangkat dan kehormatan serta keturunannya. Hilang sudah rasa persaudaraan apabila terdapat sedikit khilaf, benci dan dendam menumpuk di dalam hati bila tidak senang melihat kesenangan orang lain. Apatah lagi, harta yang banyak telah menenggelamkan mata hati untuk membantu jiran yang susah di kanan kiri.

Persaudaraan sesama teman dan sahabat kian menjurang kerana kita tidak cuba hendak mengenali. Kita tidak ingin merasakan kesukaran yang dihadapi oleh saudara kita, tetapi sambil mengerling (tahu rasa bersalah) terus melangkah kaki pergi dari kesukaran itu. Dan di dalam minda berkata "Mengapa aku perlu bersusah payah memikir kesusahan orang lain dengan diri aku yang sudah sedia susah". ALlahu ALlah.... beginilah keadaan umat Islam.


"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bersatu teguh bercerai roboh, "Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama diratah". 

Entah, siapa lagi yang ingin memerhatikan ibarat di atas?

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya :


ÙˆَتَعَاوَÙ†ُواْ عَÙ„َÙ‰ ٱلۡبِرِّ ÙˆَٱلتَّÙ‚ۡÙˆَÙ‰ٰ‌ۖ ÙˆَÙ„َا تَعَاوَÙ†ُواْ عَÙ„َÙ‰ ٱلۡØ¥ِØ«ۡÙ…ِ ÙˆَٱلۡعُدۡÙˆَٲنِ‌ۚ 


"....Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan.."
(Al-Maidah : 2)

Di bawah ini menceritakan bagaimana persaudaraan sesama Islam yang ditunjukkan oleh RasuluLlah dan para sahabatnya. Semoga beroleh pengajaran.

Gambaran kerja kaum Muslimin dalam usaha menggali kubu, telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al Barra' r.a dengan katanya :

"Di hari pakatan barisan musyrik dalam peperangan Khandaq, aku telah melihat baginda rasuluLLah s.a.w memunggah pasir dari kubu-kubu hingga tertutup kulit perut baginda RasuluLLah s.a.w. Aku lihat perut baginda penuh dengan debu-debu dan diriwayatkan dari Anas r.a bahawa kaum Ansar dan Muhajirin bertaruh dengan masa mereka menggali kubu dengan memikul tanah-tanahnya dengan kata mereka. "Kami dengan Muhammad bersumpah setia kekal dengan Islam sepanjang usia. RasuluLLah s.a.w menjawab pertaruhan mereka dengan katanya :


"Ya ALlah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan akhirat. Oleh itu, berkatilah kaum Ansar dan Muhajirin"


Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadith sahihnya dari Jabir r.a telah berkata di hari menggali kubu: :


"Kamu telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu RasuluLLah s.a.w lalu menceritakan: "Ada batu pejal ya RasuluLLah yang merintangi penggali kubu". Jawab RasuluLlah s.a.w : Nanti aku pecahkannya", kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar). "Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan". RasuluLLah s.a.w mengambil pemecah batu (Al Ma'ul sejenis cangkul) lalu dicangkulnya batu hingga menjadi hancur, Kemudian aku berkata :


"Ya RasuluLLah 'alaihi wasssalam, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah, lepas itu aku berkata kepada isteriku: "Aku lihat RasuluLLah S.a.w sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak? Jawabnya: "Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina". "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui RasuluLLah s.a.w sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas tungku lagi tadi hampir-hampir masak.


Aku berkata kepada RasuluLLah s.a.w : Saya ada sedikit makanan, ayuh RasuluLLah s.a.w dengan seorang dua lagi. Kemudian RasuluLlah s.a.w bertanya: "Banyak mana makanan itu?" Aku pun menceritakan kepada RasuluLLah s.a.w. Kata RasuluLLah s.a.w : Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba.

Kemudian RasuluLlah s.a.w berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: "Ayuh bangun dari tempat kamu". Di tengah jalan pula RasuluLLah melaung: "Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu, Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata : Apa kata kamu, RasuluLlah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain." Berkata isterinya :"Adakah RasuluLLah s.a.w telah bertanyakan tentang makanan itu?. Jawab Jabir :"Ya!". Jawab isteri Jabir : "ALlah dan RasulNya lebih mengetahui".


Kemudian datanglah RasuluLLah dan baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." RasuluLLah s.a.w mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah bila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan banyak bakinya lagi. RasuluLLah s.a.w berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan."


Dalam riwayat yang lain pula kata Jabir : Aku bersumpah demi ALlah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."

SubhanaLlah, RasuluLlah tidak tega melihat dirinya sahaja di dalam kekenyangan sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain menekan perut di dalam kelaparan. Bahkan RasuluLLah sendiri terlibat dengan penggalian parit. Jika difikirkan tentu sahaja orang yang semulia RasuluLLah tidak perlu membuat kerja, berehat dan memerhatikan sahaja sambil bersenang lenang di pembaringan.

Berbeza sungguh sifat kepimpinan baginda yang sanggup turun membantu orang Islam. Memecah batu, memberi makanan sendiri kepada sahabatnya.

Dan begitulah, sejarah selalu menjadi panduan kepada orang yang ingin mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat bermuhasabah diri.



Jika seorang susah, kami turut merasakan kesusahannya

Menurut riwayat lain (diceritakan oleh Dr Yusof al Qardhawy dalam kitabnya Iman dan Kehidupan), pernah terjadi dalam suatu peperangan, antara Muslimin dan musuhnya terbentang sebuah sungai. Mereka diperintahkan oleh panglimanya, supaya menyeberangi sungai. Semua patuh kepada perintah dan terjun ke dalam sungai. Sedang musuh melihat mereka dari jauh dengan penuh kegentaran.

Sampai di pertengahan sungai, melihat mereka semua hilang dalam air, seolah-olah tenggelam dan serentak terapung kembali di permukaan air. Musuh mengetahui apa sebabnya kejadian serupa itu. Diketahuinya bahawa salah seorang di antara mereka (tentera Muslimin) jatuh piringnya ke dalam air, lantas berteriak mengatakan : "piringku...piringku...!" Lalu mereka menyelam semuanya mencari piring yang jatuh itu sampai dapat.

Musuh yang memerhatikan hal itu merasa :"Kalau mereka berbuat serupa ini mengenai satu piring yang jatuh kepunyaan salah seorang di antara mereka, apa gerangannya yang akan mereka perlakukan, kalau kita membunuh salah seorang dari mereka!". Akibatnya musuh menyerah kalah kepada tentera kaum Muslimin.

ALlahu..ALlah.. inilah dia persaudaraan Islam yang telah ditunjukkan oleh umat terdahulu.. Bagaimanakah persaudaraan Islam yang kita tunjukkan sekarang ini? ..

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sila Pilih Artikel Lain Yang Anda Cari Di Bawah: