Pelancaran dan perasmian Yayasan Ayahanda SeMalaysia (Yas) oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Dewan Utama Seri Bendahara Ayer Keroh Melaka hari ini menjadi detik kebangkitan serta penyatuan semula ayahanda dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berbaiah di Malaysia.

Dijangkakan seramai  1,000 ayahanda hadir dalam pelancaran yayasan dalam membantu dan menjaga kebajikan ayahanda veteran di seluruh Malaysia setelah tiada satu badan khas membela mereka selama ini.

KUALA LUMPUR -  Kewujudan pelbagai NGO Islam berbaiah bertaraf ayahanda adalah usaha murni memartabatkan bangsa , agama dan negara.

Namun begitu, masyarakat sangsi dan mula mempersoalkan matlamat pertubuhan yang dilihat semakin hilang arah apabila dikatakan lebih mengejar jawatan selain kuasa berbanding memperjuangkan agama,bangsa serta negara sepertimana sumpah setia dilafazkan.

Picisan dari pelbagai pertubuhan ditubuhkan secara berdaftar atau tidak pada hari ini dilihat tidak relevan apabila segelintir ayahanda tidak memahami asas perjuangan.

Pengerusi Eksekutif, Yayasan Ayahanda SeMalaysia (Yas), Syed Husain Syed Mansor Al Shahab berkata, bibit perpecahan orang Melayu semakin besar jurangnya apabila pelbagai NGO Islam bertaraf ayahanda yang ditubuhkan  gagal memahami perjuangan sebenar pertubuhan.

Menurutnya, sumpah baiah dalam kalangan ayahanda dan ahli jemaah sebagaimana janji yang merujuk kepada al Quran dan Sunnah semakin dilupakan.

“Lafaz baiah adalah aku janji untuk berjuang di atas jalan Rasulullah dan taat setia kepada pemerintah ,bangsa dan agama.

“Malangnya, hari ini, cetusan pertubuhan berbaiah oleh pemimpin terdahulu semakin tenggelam sehinggakan ada perbalahan sesama sendiri dalam kalangan ahli baiah,”katanya.

Menurutnya, perbalahan itu menggambarkan lemahnya kepimpinan dalam kalangan ayahanda pada hari ini sehingga gagal mentarbiyahkan ahli jemaah baiah kepada jalan yang benar.

Katanya, masyarakat juga mempersoalkan tujuan dan matlamat NGO ini setelah pemimpinnya dilihat  mengejar jawatan dan kuasa.

"Pandangan negatif ini harus diperbetulkan dari sekarang kerana peranan ayahanda sangat besar setelah dipertanggungjawabkan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Saya percaya kelemahan ini berlaku apabila khalifah (ayahanda) tidak memahami sejarah asas perjuangan, jadi sudah sampai masanya badan khas ditubuhkan bagi memantau dan menyedarkan fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, umum mengetahui bahawa gelaran ayahanda dan pertubuhan berbaiah sebelum ini bergerak secara sukarela bagi membangkitkan perpaduan orang Melayu serta menzahirkan taat setia kepada pemerintah dan agama.

"Oleh itu, selain menjaga kebajikan ayahanda, Yas juga diharap dapat memartabat semula maruah ayahanda supaya kembali kepada landasan sebenar sebagaimana lafaz janji dan sumpah baiah dalam pertubuhan.
Jaga kebajikan ayahanda

Dalam pada itu, Syed Husain berkata, Yas dilihat mampu memartabatkan kembali peranan ayahanda selain menjaga kebajikan mereka.

Menurutnya, tujuan dan matlamat Yas pada asasnya membantu veteran ayahanda, ibunda dan balu kepada keluarga ayahanda apabila tiada badan menjaga kebajikan mereka selama ini.

“Rekod yang dikumpulkan Yas menunjukkan kira-kira 1,500 ayahanda di seluruh Malaysia dan dari jumlah tersebut, lebih kurang 100 ayahanda veteran dan 60 balu keluarganya memerlukan perhatian.

“Antara syarat utama Yas membantu golongan itu, ayahanda  mestilah dari pertubuhan berdaftar, berbaiah dan ada matlamat serta hala tuju perjuangan yang sama dengan NGO Islam berbaiah lain,” katanya.
Beliau berkata, keutamaan yayasan adalah membantu ayahanda dan ibunda yang memegang gelaran itu sekurang-kurangnya 10 tahun dan berusia 60 tahun ke atas.

"Yayasan mengenalpasti ada ayahanda yang sakit kronik, tidak bekerja, tiada pendapatan tetap dan memerlukan perhatian berdasarkan jasa mereka sebelum ini," katanya.

Jadi tempat rujukan ayahanda

Dalam pada itu, penubuhan Yas turut menjadi tempat rujukan kepada pelbagai masalah dan kekeliruan dalam kalangan ayahanda.

Syed Husain berkata, penubuhan jawatankuasa khas iaitu Majlis Perunding Yayasan terdiri daripada korporat, wakil NGO dan ahli profesional dalam kalangan ayahanda dijadikan tempat rujukan kepada NGO Islam yang berbaiah.

"Yas juga akan menubuhkan Pusat Akademi Tarbiyah dengan mengumpulkan NGO bertaraf ayahanda seluruh Malaysia, me- ngemaskinikan peraturan, dasar dan mendidik erti tanggungjawab sebenar fungsi serta peranan mereka sebagai pemimpin Islam.

“Yayasan pula jadi medium mengembalikan martabat ayahanda setelah masyarakat pada hari ini memandang serong kepada peranannya dan NGO Islam," katanya.

Oleh itu, katanya, ayahanda perlu bersatu dari sekarang dan buktikan peranan serta tanggungjawab ayahanda kepada agama, bangsa dan negara sebelum ini tidak boleh diperkecilkan.

"Lebih penting apabila roh baiah dalam kalangan ayahanda dihayati semula dan semangat adik-beradik ahli jemaah berbaiah disatukan semula," katanya.

Perlu sokongan, zahirkan taat setia


Yayasan memerlukan sumbangan dari syarikat besar, ahli korporat dan individu prihatin bagi menggerakkan pertubuhan itu.

Pada masa sama, membela ayahanda yang memerlukan apabila mereka selama ini banyak berjasa, menjadi tulang belakang kestabilan serta perpaduan orang Melayu selain mempertahankan syiar Islam dan Institusi Raja-Raja Melayu.

Syed Husain berkata, ramai dalam kalangan menteri, penjawat awam dan ahli korporat menjadi ahli berbaiah serta berharap mereka dapat membantu yayasan.

“Perlu dijelaskan bahawa yayasan hanyalah sebagai perantara menjaga kebajikan ayahanda dan tiada unsur perniagaan.

"Keahlian Yas kini seramai 30 orang dan pada masa yang sama, NGO Islam berbaiah yang mempunyai taraf ayahanda secara tidak langsung menjadi ahli bersekutu kepada yayasan tanpa dikenakan sebarang yuran," katanya.

Menurutnya, yayasan juga berazam mengumpulkan sejuta tandatangan ahli jemaah berbaiah di seluruh negara bagi menzahirkan taat setia kepada Institusi Raja Berperlembagaan dan Ketuanan Melayu.

"Terdapat dua juta ahli jemaah berbaiah dari pelbagai pertubuhan di negara ini dan  percaya mereka akan menzahirkan taat setia kepada pemerintah sebagaimana janji dalam sumpah baiah.

“Kita mahukan suara orang berbaiah ini didengari dan akan menjadi suara keramat kepada pemerintah, seterusnya menyatupadukan kaum Melayu dan Islam,” katanya.


Sejarah gelaran ayahanda

-Gelaran ayahanda wujud di Malaysia melalui pelbagai NGO Islam yang berbaiah dan sama perjuangan serta hala tujunya.

-Gelaran ini mula wujud sekitar 1970-anlagi tetapi kebanyakkan pertubuhanbertaraf ayahanda ketika itu tidak berdaftar.

-Pada 1983, pertubuhan yang ada gelaran ayahanda ini didaftarkan atas nama Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiyah Malaysia (Pekida) di Sungai Petani Kedah.

-Susulan itu, hari ini, kira-kira 30 NGO Islam bertaraf ayahanda telah ditubuhkan yang mempunyai matlamat dan perjuangan yang sama iaitu memartabatkan bangsa, agama dan negara.

Latarbelakang pengasas

-Syed Husain merupakan pengasas Pekida Wilayah Tengah (Kampung Baru) dari 1992 hingga 2004.

-Lahir di Kota Setar pada 10 Jun 1958 dan bergiat aktif dalam masyarakat sejak belasan tahun.

-Menubuhkan Pertubuhan Warisan Persahabatan Malaysia (Sahabat) pada 2005.

-Menubuhkan Yayasan Ayahanda SeMalaysia (Yas) pada 2011. Anugerah KMW pada Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2009 di Istana Negara.