Pages

05 October 2011

HIMPUN : Selamatkan Akidah Umat


 Kenyataan Media
HIMPUN : Selamatkan Akidah Umat
Sidang media ini diadakan untuk mengisytiharkan kepada umum tentang penganjuran sebuah perhimpunan besar-besar yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat atau nama ringkasnya HIMPUN. HIMPUN, yang merupakan inisiatif dan anjuran pelbagai pertubuhan-pertubuhan dan individu yang mewakili umat Islam akan di adakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu, 22hb Oktober ini bermula jam 2 hingga 5.30 petang.
HIMPUN diadakan untuk menzahirkan suara dan sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam di negara kita ini. Umat Islam di negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap akidah seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC, Azlina Jailani, dan yang terkini kes DUMC susulan siasatan JAIS pada 3hb Ogos 2011 yang lalu. Kes yang terakhir ini membuktikan betapa pihak yang mendalangi usaha pemurtadan umat ini semakin berani dan aggresif dalam menggerakkan dakyah mereka.
Kita melihat bahawa usaha Kristianisasi di kalangan orang-orang Islam yang lemah dan terdedah dengan dakyah mereka semakin berleluasa. Pendakwah-Pendakwah Kristian bebas memberi khidmat sosial kepada pesakit-pesakit kronik di wad-wad hospital, menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk anak-anak orang Islam yang diwarnai ajaran Kristian, menyebarkan risalah secara terbuka di tempat-tempat awam dan rumah-rumah persendirian, mengadakan acara-acara hiburan yang ditaja pertubuhan-pertubuhan Kristian, menganjurkan majlis-majlis makan malam Thanksgiving melibatkan umat Islam dan pelbagai lagi bentuk percubaan mengkristiankan umat Islam.
Pada masa yang sama kita melihat gejala kurangnya kesatuan suara dan kejelasan sikap terhadap pelbagai ancaman terhadap akidah umat ini termasuk dari kalangan sebahagian umat Islam disebabkan pelbagai faktor termasuk sentimen politik dan puak. Ini mewujudkan suasana yang memungkinkan terhakisnya benteng pertahanan akidah umat sama ada dalam bentuk institusi-institusi agama, usaha dakwah dan pendidikan serta peruntukan undang-undang.
Menyedari hakikat ini, HIMPUN dicetuskan sebagai wadah untuk menyedarkan kembali umat Islam tentang cabaran dan ancaman yang sedang melanda akidah Islam di negara ini khususnya ancaman murtad dan pemurtadan.
HIMPUN juga diharapkan menjadi suatu bukti yang jelas nyata bahawa umat Islam boleh dan akan bersatu tanpa mengira latarbelakang untuk mempertahankan aqidah mereka daripada diganggu-gugat oleh sesiapa sekalipun. Maka HIMPUN juga ingin menghantar mesej bantahan dan amaran yang jelas kepada sesiapa yang bertindak atau mengeluarkan ucapan yang menghina agama dan menghakis benteng akidah umat.
HIMPUN juga berhasrat menegaskan dan mendokong Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung dan penaung dalam menjaga dan memelihara agama Islam di negara ini. Maka HIMPUN juga di adakan untuk mencari kesepakatan-kesepakatan yang boleh dipanjangkan kepada pihak Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dan pihak kerajaan dalam hal mempertahankan aqidah umat Islam di negara kita.
Ia juga bertujuan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Inilah di antara asas dan latar belakang di sebalik penganjuran HIMPUN.
Dari segi perlaksanaannya, sebagai suatu inisiatif umat, sebuah Sekretariat HIMPUN yang dianggotai oleh organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang telah dibentuk. Sekretariat tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Dr. Yusri bin Dato’ Hj Mohamad (mewakili Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA). Manakala Sdr. Aminuddin Yahaya, Timbalan Presiden ISMA bertindak sebagai Setiausahanya.
HIMPUN adalah sebuah perhimpunan aman dan segala langkah yang wajar akan diambil untuk mempastikan bahawa tidak akan wujud apa-apa insiden yang bertentangan dengan keamanan dan undang-undang.
Di antara agenda utama HIMPUN adalah ucapan-ucapan wakil masyarakat dan mereka yang mempunyai pengalaman langsung dengan isu murtad, ucapan tokoh-tokoh antarabangsa yang berkaitan dengan isu akidah dan pemurtadan serta deklamasi sajak, lagu, doa munajat serta di akhiri dengan pembacaan resolusi HIMPUN.
Resolusi ini kemudiannya dirancang untuk dipersembahkan kepada ke bawah Duli Raja-raja Melayu serta pihak berwajib yang lain. Perhimpunan tersebut mensasarkan seluruh lapisan masyarakat Islam khususnya dari pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, parti-parti politik, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, Jamaah masjid dan surau, komuniti guru dan lain-lain lagi.
Berasaskan segala kesedaran dan latarbelakang di atas, kami menyeru kepada seluruh warga umat Islam untuk bersama-sama menyahut panggilan mulia untuk menjayakan HIMPUN. Inilah peluang keemasan untuk setiap individu muslim yang sayangkan akidahnya dan cemburukan agamanya untuk menyumbangkan suatu khidmat bakti untuk tujuan murni ini.
Kebersamaan dan kesatuan kita akan mengundang rahmat, tawfiq dan inayah Ilahi. Maka akan terhasillah dengan sebabnya suatu benteng yang kukuh dalam mempertahankan akidah umat.

Yang benar,
Tuan Haji Mohd. Azmi bin Abdul Hamid  &  Dr. Yusri bin Dato’ Hj Mohamad
Pengerusi Bersama HIMPUN 2011

No comments:

Post a Comment