Sejurus selepas berita mengenai pencerobohan orang asing yang bersenjata
di kawasan Pantai Tanduo berdekatan Felda Sahabat 17 tersebar, suasana
di bandar Lahad Datu bertukar menjadi sibuk dengan aktiviti-aktiviti
pihak berkuasa.
Menurut sumber dari penduduk Lahad Datu, ekoran
daripada kejadian itu, banyak trak-trak tentera kelihatan bergerak ke
arah Jalan Silabukan menuju ke lokasi kejadian.
Di
samping itu, tentera bersenjata turut dilihat berjalan kaki membuat
rondaan bandar. Rondaan helikopter polis juga dilihat dibuat berterusan.
Pemeriksaan polis turut dilakukan di beberapa kawasan bandar
terutamanya Jalan Silabukan.
Manakala sekolah-sekolah di
sepanjang jalan tersebut yang meliputi Bakapit, Tungku, Felda dan
lain-lain turut ditutup. Askar tambahan juga telah ditempatkan di Felda.
Berdasarkan
maklum balas yang diterima dari penduduk sekitar bandar Lahad Datu
menunjukkan reaksi yang berbeza. Ada yang merasa suasana tegang dan ada
juga yang tidak terasa sedemikian.
Prichard Jimmy menggambarkan,
walaupun kehadiran ramai tentera membuat rondaan, tetapi keadaan adalah
seperti biasa dengan banyak kedai masih dibuka.
"Keadaan
di sini masih seperti biasa. Masih banyak kedai dibuka. Tapi ada juga
yang tutup. Penduduk tidak berapa panik sebab mereka tahu pemeriksaan
jalan raya oleh pihak berkuasa sedang dijalankan dengan ketat.
"Banyak helikopter yang terbang ulang-alik ke Tungku. Tapi saya takut jalan malam sebab takut diculik," katanya.
Menurutnya
lagi, ramai yang mengelak untuk pergi ke Jalan Silabukan melainkan
mereka yang tinggal di kawasan sepanjang jalan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Nihal Singh mengesahkan apa yang dikatakan oleh Prichard mengenai banyak kedai yang ditutup.
Selain itu, ramai penduduk khususnya kaum Cina juga telah meninggalkan bandar Lahad Datu, kata Nihal lagi.
"Ramai
orang Cina dari Semenanjung sudah keluar dari bandar ini. Mungkin ada
yang pergi ke bandar lain dan mungkin ada juga yang balik ke
Semenanjung.
"Selain ini, ada juga yang enggan menghantar anak-anak mereka ke tadika, termasuk saya," katanya.
Sementara
itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Siti pula berkata, dia
ada terserempak dengan tujuh trak askar yang diiringi oleh dua
penunggang motorsikal.
Trak-trak itu kelihatan kosong, akui Siti cemas yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke Semporna.
Manakala
bagi Anthony Teo pula, dia juga ada terserempak dengan banyak kenderaan
tentera yang dilihat bergerak ke arah kawasan Felda Sahabat dan juga
merasakan keadaan yang tegang.
Berlainan pula dengan keadaannya di sekitar kawasan Felda Sahabat.
Walaupun urusan harian berjalan seperti biasa, tetapi keadaan menjadi sunyi semenjak kejadian tersebut.
Seorang
pekerja sebuah institusi kewangan di sana mengatakan, situasinya adalah
menakutkan dan beliau keberatan untuk turun kerja dengan keadaan
tersebut.
Malah, beliau risau kerana lokasi kejadian hanya kira-kira 16km dari tempat beliau bekerja.
Kenyataan-kenyataan rasmi yang dikeluarkan tidak menggambarkan perkara sebenar, katanya yang enggan namanya disiarkan.
Seorang
lagi penduduk kampung yang tinggal di sepanjang Jalan Silabukan pula
berkata, sudah banyak trak tentera lalu di kawasan mereka.
"Helikopter
juga tidak henti-henti membuat rondaan manakala jalanraya menjadi
lengang. Suasana sini tegang dan menakutkan," katanya yang juga enggan
namanya disiarkan.
Antara khabar angin yang tersebar di kalangan
segelintir penduduk Lahad Datu adalah, orang-orang asing yang menceroboh
tersebut adalah askar-askar veteran Abu Sayaff yang telah berusia.
No comments:
Post a Comment