Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

22 July 2013

Pertingkatkan ibadah di Bulan ramadhon Al Mubarak




Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak, hati merasa gembira dengan kedatangannya,bulan yang penuh berkat maka marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah Ta'ala.Marilah kita berazam di bulan ini
1- Bulan yang kita bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah agar diampunkan segala dosa kita.2- Kita banyakkan berzikir, beristighfar berselawat dan seumpamanya, kita tetapkan zikir kita umpama ingin berzikir 10 ribu sehari atau mengikut kemampuan masing-masing.3- Sekurang-kurangnya kita khatam Al Quran sekali sama ada secara tadarus atau sendirian dalam sembahyang atau luar sembahyang.4- Bangunlah pada waktu malam bertahajjud dan munajat di malam hari kepada Allah.5- Banyakkan bertafakur dan berkhalwah dengan menumpukan tawajjuh kepada Allah agar hati kita tunduk kepada-Nya.6- Jagalah anggota kita daripada maksiat terutama maksiat mata dan lidah.7- Infaklah harta pada jalan Allah dalam keadaan ikhlas.8- Berbuka dan bersahurlah dalam keadaan mengikut sunnah dan jauhkan daripada pembaziran.9- Sempurnakan solat terawih sebanyak 20 rakaat dan witir10- Jangan abaikan ilmu dengan mendengar tazkirah dan seumpamanya.
 Rebutlah banyak kelebihan yang ditawarkan oleh Allah di bulan Ramadhan serta tingkatkan ibadat terutama pada 10 malam terakhir.


Muafakat Asas Perpaduan Ummah.














Radio































Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Perkara perkara sunat ketika berpuasa


Antara perkara-perkara sunat dalam puasa:
1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.
2) Makan sahur walaupun sedikit.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.
3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas drpd tengah malam & sblm waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
8 ) Menghadiri majlis-majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
10) Jangan bersugi (berus gigi) setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Agenda pendakyah Kristian di Malaysia


 Agenda kesamarataan agama di Malaysia makin terserlah selepas pendakyah Kristian dilaporkan telah bersumpah mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Pelangi’ atau ‘Rainbow Nation’.
‘Negara Pelangi’ bukan setakat bermaksud keharmonian antara agama di Malaysia, namun ia membawa maksud yang lebih halus khususnya dalam konteks penyamarataan agama.
“Sebaliknya jika difahami dan dikaji dengan lebih terperinci, ia menunjukkan penganut Kristian ini mahu menjadikan semua agama adalah setaraf iaitu tiada yang lebih dan tiada yang kurang.
“Jika begitu, ia sangat bercanggah dalam perlembagaan negara. Yang jelas paksi negara kita ialah Islam, bukan agama lain.
“Tiada masalah jika mereka mahukan keharmonian antara semua bangsa, namun yang menjadi permasalahan apabila mereka mahukan penyamarataan antara semua bangsa dan agama,” 
Menurut beberapa pendedahan helaian dokumen yang ditemui pada penghujung tahun lalu yang bertulis “We decree and declare that Malaysia will be a “Rainbow Nation” (Kami dekri dan mengisytiharkan bahawasanya Malaysia akan menjadi sebuah ‘Negara Pelangi’).
“Mana mungkin pendakyah Kristian mahu sama ratakan agama kerana sudah jelas dalam peruntukan perlembagaan negara Perkara 3 (1) iaitu Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan,” .

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Erti Ramadhon yang sebenar



Ramadhan kembali lagi. Menandakan ketibaan bulan puasa. Bulan kita menahan lapar dahaga di siang hari. Bagi orang yang beriman, bulan puasa amat dinanti-nantikan seperti Nabi, para sahabat dan para solihin. Sementara golongan sebaliknya, merasakan ia suatu penyiksaan kerana terpaksa meninggalkan makan minum dan rutin seharian.


Alhamdulillah kita masih diberikan kesempatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Bulan yang penuh barakah. Setiap amalan dilakukan, pahalanya akan digandakan

Inilah nikmat yang paling besar dalam kehidupan Muslim apabila tibanya Ramadhan. Maka buatlah yang terbaik untuk Allah SWT sehingga sampai ke peringkat Taqwa sebagaimana FirmanNya yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah Al-Baqarah ayat 183)
Ramadhan adalah bulan tarbiyyah, juga dikenali sebagai madrasah atau sekolah, yakni tempat kita belajar dan menjalani latihan. Ramadhan tempat kita membersihkan diri dalam satu bulan setelah menjalani hakikat sebelas bulan yang berlalu. Cuba kita tanya, apakah yang telah kita lakukan kepada sebelas bulan itu? Baikkah yang dibuat atau sebaliknya? Tidakkah kesempatan satu bulan ini digunakan sepenuhnya untuk membersihkan sebelas bulan yang telah berlalu?


Jangan sampai Ramadhan menjadi bulan adat. Sebelas yang berlaku dibiarkan sia-sia dengan melakukan kerja yang tidak berfaedah. Bila tiba Ramadhan digunakan untuk bertaubat. Kesalahan yang paling besar dilakukan oleh manusia ialah mereka tahu apa yang dilakukan itu salah, tetapi terus mengulanginya. Dengan harapan, kesalahan itu boleh diampunkan dengan bertaubat atau membersihkannya apabila tiba bulan Ramadhan.


Mentaliti yang sama berlaku dalam memahami konsep haji. Pada pemahaman mereka, dengan mengerjakan haji, diharapkan dapat membersihkan segala dosa. Justeru, masa muda dihabiskan dengan berjoli sana sini. Ibadah haji hanya dikerjakan ketika usia tua. Kenapa? Dengan harapan segala kesalahan dan dosa yang dilakukan semasa muda akan diampunkan oleh Allah SWT setelah mengerjakan haji. Pada pandangannya, jika mengerjakan haji ketika muda, adalah satu kerugian, sebab tidak dapat buat maksiat selepas itu. Inilah salah faham konsep ibadah dalam Islam.


Kita mesti faham, konsep ibadah dalam Islam adalah setiap saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun yang berlalu atau yang akan berlalu, mesti dipenuhi dengan melakukan segala kebaikan agar diterima sebagai satu ibadah. Tidak timbul soal hanya bulan puasa sahaja kita perlu jadi baik, tetapi tidak di waktu yang lain. Bulan puasa adalah bulan kemuncak, seperti juga kita mengerjakan haji. Maknanya, kita melakukan yang terbaik setelah menjalani kehidupan yang baik atau terbaik. Tidak timbul soal hari-hari lain yang berlalu, kita buat lebih kurang sahaja. Bila tiba Ramadhan kita begitu beriya-iya.


Ramadhan sebenar membawa ikhtibar yang begitu banyak. Ramadhan mengajarkan kita menahan lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara yang sia-sia seperti mengumpat, menfitnah, mudah marah, naik angin dan membuang banyak lagi sifat negatif. Bila habis Ramadhan, bawalah tarbiyyah ini mendepani bulan yang mendatang. Jika Ramadhan mengajar kita erti kesabaran. Maka bawalah sifat sabar ini ke bulan selepas itu.


Jika bulan Ramadhan kita tidak boleh berpesta-pestaan, begitulah seterusnya. Jangan jadikan seolah-olah Ramadhan bulan berjihad, bulan lain bulan berjahat. Dalam Islam kalau hari ini kita berjihad, sampai ke mati tetap jihad. Maksud saya, jihad ke arah lebih baik dari hari ke hari.


Begitu juga jangan jadikan seolah-olah Ramadhan bulan syurga sementara bulan lain bulan neraka. Ketika Ramadan berkumandang lagu-lagu nasyid, lagu-lagu memuji Allah dan lagu-lagu patriotik. Tetapi bila habis Ramadhan maka bergemalah lagu-lagu rock, rap, hip hop dan lain rentak barat yang tidak ada membawa sebarang makna pada senikatanya. Kalau inilah sekolah Ramadan, bermakna kita gagal menjalani madrasah Ramadhan.


Hari ini, agama Islam disalah fahamkan kerana umat Islam mempunyai dua wajah. Satu wajah baik di bulan Ramadan dan wajah buruk di bulan yang lain. Kenapa umat Islam perlu ada dua wajah? Tidakkah kita mesti menjadi baik sepanjang masa? Satu wajah, satu umat, satu ibadat. Bila tiba Ramadan kita menjadi lebih baik dan terbaik.


Sedarlah, bahawa dalam agama lain juga ada puasanya yang tersendiri. Tetapi puasa yang dijalani oleh kita jauh berbeza dengan orang lain. Ramadhan juga mengajar kita merasaikan kehidupan fakir miskin atau mereka yang tidak bernasib baik. Dengan berlapar dahaga membawa kita insaf terhadap mereka yang memerlukan. Bayangkan puasa yang dilalui oleh umat Islam di negara miskin dan negara yang berperang di Iraq, Afghanistan, Palestin dan sebagainya. Apatah lagi dalam keadaan panas dan cuaca panas terik. Alangkah bertuah kita di sini, aman, cuaca sederhana dan serba mencukupi.


Ramadhan juga mengajar kita berjimat cermat. Bayangkan di bulan Ramadhan kita boleh berjimat satu ringgit paling minima. Jika 1.5 bilion umat Islam berjimat 1 ringgit di seluruh dunia. Makna, satu hari sahaja kita boleh mengumpulkan 1.5 bilion. Jika 30 hari, bermakna kita berjaya kumpulkan 45 bilion. Ini tidak termasuk wang zakat dan zakat fitrah yang kita berikan. Jika ia benar-benar berfungsi, tidak ada umat Islam yang menjadi fakir atau miskin di dunia ini.


Ramadhan mengajar kita erti menjaga kesihatan yang sebenar. Setelah sebelas bulan kerjanya asyik makan sahaja. Maka tibalah satu bulan untuk merehatkan perut. Salah satu aktiviti berpuasa mencegah diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam yang membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat dari aktiviti pencernaan makanan. Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan. Pendek kata, puasa membantu kita menjadi lebih sihat. Namun, ingat! Puasa juga boleh menimbulkan mudarat, jika kita tidak menjaga adab-adabnya.


Antara adab-adab puasa ialah jangan stress, jangan marah dan sebagainya yang boleh mengganggu ketenangan otak dan organ badan. Justeru, kita dituntut supaya banyak bersabar serta berzikir kepada Allah. Ketika perut kosong, jika otak stress dan tidak relaks, kesihatan kita akan terganggu. Perut akan merembeskan asid jika kita dalam stress. Bila asid banyak dalam perut, ia memerlukan sesuatu (makanan seperti susu) bagi meneutralkannya. Jika diteruskan juga puasa dibimbangi akan menimbulkan kemudaratan. Ringkasnya, puasa akan menjadikan kita sihat jika kita jaga adab-adab puasa. Puasa akan jadi mudarat jika kita langgar adab-adab puasa.


Perlu diingat, walaupun banyak kajian menunjukkan bahawa puasa dapat memulihkan sesetengah penyakit, terdapat juga keadaan penyakit yang boleh diburukkan dalam berpuasa. Dalam hal ini, wajarlah mereka yang mempunyai masalah kesihatan mendapat perhatian dan pemeriksaan doktor sebelum memulakan puasa seperti ibu mengandung, ibu yang masih menyusu anak, pesakit kanser, pesakit yang mempunyai ulser, pesakit dengan kegagalan jantung kongestif dan pesakit yang menghadapi pembedahan.


Sebenarnya terlalu banyak fadhilat dalam memahami erti Ramadhan yang sebenar. Justeru, kita perlu menjadi umat yang pandai memilih. Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:


Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa

Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan


Tingkatan manakah kita? Ringkasnya, lakukanlah puasa bukan kerana ia suatu perintah, tetapi kerana kasih sayang kepada Allah SWT yang tidak terhingga. Itulah puasa yang akan membawa pengampunan dosa dan seterusnya membawa kita ke syurga.


Kepada semua pembaca , Selamat Berpuasa. Buatlah yang terbaik untuk Allah SWT kerana kita sayangkanNya dan bukan kerana perintah.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

09 July 2013

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhon


Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Saudara-saudari,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Saudara-saudari,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wasalam

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...