Jadi mungkar di sini bererti ash-syarr (keburukan). Oleh kerana itu, nahi mungkar bererti perintah untuk menjauhi perkara-perkara yang mungkar (keburukan), yang dihindari oleh akidah dan syariat Islam. Amar makruf nahi mungkar adalah diwajibkan oleh syariat Islam sepertimana dalam firmanNya dalam surah Ali-‘Imran, ayat 104 yang bermaksud; “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; dan merekalah orang-orang yang beruntung.”
Adapun taghyir al-munkar (mengubah kemungkaran), ia juga diwajibkan ke atas setiap Muslim. Caranya juga telah ditentukan oleh Rasulullah SAW. Sabda baginda SAW (yang bermaksud):
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya (mulutnya). Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya (iaitu membenci kemungkaran yang berlaku) dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis riwayat Muslim).
Menurut Qadhi Iyadh, hadis ini adalah berkaitan dengan sifat-sifat seseorang yang mahu mengubah kemungkaran. Orang yang hendak mengubah kemungkaran berhak mengubahnya dengan pelbagai cara yang dapat melenyapkan kemungkaran tersebut, baik melalui perkataan mahupun perbuatan (tangan). Jika seseorang memiliki dugaan/syak yang kuat (yakni jika diubah dengan tangan akan muncul kemungkaran yang lebih besar lagi seperti menyebabkan risiko akan dibunuh atau orang lain bakal terbunuh disebabkan perbuatannya), cukuplah ia mengubah kemungkaran itu dengan lisannya. Jika ia merasa khuatir bahawa ucapannya itu juga boleh mengakibatkan risiko yang sama, cukuplah diengkari dengan hati. Itulah maksud hadis tersebut (Imam An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim).
Yang dimaksudkan dengan mengubah kemungkaran melalui hati pula adalah dengan menasihati pelaku kemungkaran tersebut (secara persendirian/personal). Tetapi apabila difikirkan jika hal itu dilakukan atau tidak mampu dilakukan kerana adanya risiko kemungkaran yang lebih besar, maka ia hendaklah membenci di dalam hati di samping memutuskan hubungan dengan kemungkaran dan para pelakunya melalui tindakan-tindakan seperti berikut: tidak duduk bersama mereka ketika mereka melakukan kezaliman/kemungkaran/kemaksiatan , tidak makan minum bersama mereka, tidak melayani kehendak mereka, tidak menyediakan sebarang kemudahan yang dapat membantu atau mendorong mereka melakukan kemungkaran dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, perlu dijelaskan dan diingatkan di sini bahawa tindakan-tindakan sebegini adalah hanya bagi individu atau sekolompok atau sekumpulan umat Islam (Pertubuhan/Persatuan/Parti) yang tidak berautoriti. Tetapi lain pula halnya bagi pemerintah atau ketua negara, tindakan memerangi kemungkaran adalah suatu tanggungjawab dan wajib dilakukan dalam semua keadaan dan perkara tanpa perlu melihat siapakah yang terlibat dan apakah kesannya kepada kerajaan. Meraka adalah pihak yang berkuasa penuh dan mempunyai segala macam kemudahan untuk mengatasinya dan meleyapkannya dengan ‘tangan’. Mereka perlu melaksanakan amar makruf nahi mungkar dengan sepenuh kudrat yang ada. Mereka tidak boleh serta tidak layak untuk memberi sebarang alasan untuk lari daripada tujuan tersebut.
Masalah utama sekarang, pemerintahan yang sedang berjalan di tengah-tengah kaum Muslimin pada ketika ini adalah pemerintahan dan negara yang telah berubah menjadi Darul Kufur, syariat dan perlembagaan Islam (al-Quran dan as-Sunnah) digantikan dengan sistem hukum taghut (Perlembagaan Persekutuan, English Common Law dan sebagainya). Sekularisme dijadikan dasar negara, kedaulatan negara bukan lagi berada di tangan Allah SWT tetapi di tangan manusia (rakyat), kekufuran bermaharajalela dalam segenap lapisan masyarakat, dari dasar akar umbi sehingglah ke cabang-cabangnya. Sistem dan ideologi kufur berkuasa penuh (Sosialisme, Kapitalisme-Demokrasi) serta menjadi akidah dan pegangan umat yang mengaku dirinya sebagai Islam, bahkan dibelanya bermati-matian. Ini dengan terang lagi bersuluh menunjukkan bahawa negara itu sendiri telah menjadi pelaku dan juga pemelihara kemungkaran. Jadi apakah yang harus kita lakukan sekarang sebagai seorang yang mengaku Muslim?
Jawapannya adalah, kaum Muslimin pada saat ini perlu melibatkan diri dalam proses taghyir al-munkar (mengubah kemungkaran) secara global dan juga inqilabi (perubahan yang mendasar dan menyeluruh). Caranya adalah dengan mengembalikan semula sistem hukum Islam melalui kewujudan Negara Islam (Daulah Islam) dan pada masa yang sama mempropagandakan akidah serta syariat Islam iaitu melalui Negara Khilafah yang merujuk kepada manhaj Nabi SAW. Semua ini haruslah melalui tahap dan juga sistem yang berlandaskan perjalanan Rasulullah SAW dalam membangunkan Negara Islam Madinah, dan bukannya melalui kaedah atau metod lain.
Jika di kalangan kaum Muslimin hari ini tidak mempunyai sebarang usaha untuk mengubahnya, bahkan dengan hati pun jauh sekali ingin melakukannya di samping langsung tidak mengambil peduli tentang keadaan umat Islam di seluruh dunia, ini bererti imannya sudah pun hilang di dalam dirinya dan kemungkaran akan tumbuh subur menyelimuti seluruh umat manusia. Dan akhirnya, pintu azab Allah SWT yang sangat pedih akan terbuka. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):
“Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Atau jika tidak, Allah akan menurunkan azab ke atas kamu semua, kemudian kamu berdoa kepadaNya, maka doa kamu tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
0 comments:
Post a Comment