skip to main  |
      skip to sidebar
          
        
          
        
KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi  Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi  Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.  Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan  tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali.  Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut  sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar,  dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan  harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam  supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.  Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya  diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah  seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah  s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada  bulan Ramadhan antaranya:  · Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama  seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).  · Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang  membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.  · Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala  malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat  sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya  Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih  pada malam ini.  · Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa  A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.  · Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih  sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.  · Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan  dinaikkan mutu ibadat  hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..  · Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang  ke-tiga puluh  Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama  tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil,  semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam  kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi,  ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu  (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan  bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga  ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak  mengetahui akan wujudnya hadis ini.  Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya  didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan  berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan  amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak  akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini  juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara  dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.  	Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang  mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat  sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku  maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori,  Muslim)  	Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat  Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi  S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal  ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib  dan tarhib).  	Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari  seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W.  menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi:  Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang  mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini  maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka  bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia  termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam  pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di  antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan  hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal  ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam  sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam…  seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram  berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang  kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya  adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia  mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak  lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).  Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin  untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita  sering dapati  hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang  yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi  Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya  berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya  adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan  sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..  Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang  menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih  contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan  dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan  dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)  Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan  sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang  bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar?  Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan  sembahyang. (Al-Muddatsir)  Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti  dengan adanya hadis rekaan  yang seperti ini mereka akan  bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang  malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun  siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.  Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari  meneliti sanad perawinya ialah  1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang  terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad  S.A.W. atau orang yang  berjuang bersama dengan  nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai  atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian  walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau  menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai  kedudukan seorang nabi.  2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang  dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat  sebagaimana  tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.  3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi  Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi  sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.  4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai  dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa  hadis-hadis yang dimulai  dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga  sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.  Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti  institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya  prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul  yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah  mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan  Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah  s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan  harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang  diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis  palsu seperti ini.  SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. 
Muafakat Asas Perpaduan Ummah.
 
 
 
          
      
 
 
Sila Pilih Artikel Lain Yang Anda Cari Di Bawah:
  
 
 
 
  
0 comments:
Post a Comment