Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

14 May 2013

Bukti Umat Islam berpecah kerana politik dari dulu lagi


( Bukti perpecahan umat Islam kerana politik di Zaman Para Sahabat Rasulullah S.A.W lagi )
Titik asal perpaduan Umat Islam adalah pegangan Akidah dalam diri sendiri. Apabila seseorang tidak lagi berpegang pada akidah yang tepat, maka dia tergelincir atau keluar dari ‘dua jalan’. Dua jalan yang dimaksudkan ini adalah dua kalimah syahadah yang menjadi asas pembentukan akidah kita. Sejarah telah terukir di mana umat Islam telah berpecah di zaman para sahabat memerintah lagi. Apa puncanya? Kita tahu Islam sekarang berpecah-pecah kepada beberapa puak. Puak Syiah, puak Sunnah dan bermacam-macam lagi. Malah ada juga yang terlampau taksub dengan mazhab atau imam-imam besar tertentu.

Jika difikirkan balik, bagaimana terpecahnya Islam sampai sebegini rupa sedangkan Islam itu datangnya dari Tuhan yang satu, disampaikan oleh Rasul Allah yang satu, melalui kitab yang satu? Tetapi ada sebahagian lebih taksub kepada sesuatu pergerakan yang didakwa mereka pergerakan yang mengamalkan Islam lebih dari orang lain. Di Malaysia ada berbagai-bagai kumpulan, ada yang menamakan kumpulan mereka al-Arqam, Ikhwan, dan banyak lagi. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam telah berpecah di zaman para sahabat lagi disebabkan mereka menamakan kumpulan mereka dengan nama yang lain lebih dari mereka menamakan kumpulan mereka dengan nama yang Allah berikan kepada mereka.

Dalam Surah al-Hajj, Allah berfirman melalui ayat 78;

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Ayat di atas menunjukkan Allah menamakan umat Islam itu adalah “Orang-orang Muslim”. Atau dalam Arabnya “MUSLIMIN”. Mana mungkin puak-puak yang menamakan diri mereka dengan sesuatu yang lain kita boleh anggap mereka benar. Islam tidak melarang umatnya daripada menubuhkan sesuatu kumpulan atau persatuan. Tetapi, janganlah sampai kepentingan kumpulan tersebut melebihi kepentingan Islam. Inilah yang terjadi ketika pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin. Umat Islam berpecah kerana kumpulan. Umat Islam berpecah kerana ‘politik’. Apabila politik diletakkan di atas Islam, maka sebahagian umat Islam ketika itu hilang pertimbangan dalam tingkah laku mereka.

Selepas kewafatan Baginda Rasul, Khulafa’ arRasyidin di bawah pimpinan Saidina Abu Bakar mengambil alih pemerintahan negara umat Islam ketika itu. Kemudian diganti oleh Saidina Umar. Corak pemerintahan Saidina Umar ketika itu berbeza dengan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar memerintah dalam nada yang tegas dalam setiap perkara. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah rakyat terhadap kepimpinan Saidina Umar. Maka ketidakpuasan hati ini berlarutan sehinggalah tercetusnya pembunuh Saidina Umar.

Saidina Uthman kemudiannya terpaksa mengambil alih pemerintahan dalam keadaan kucar-kacir. Saidina Uthman pada ketika itu bakal berdepan situasi yang sukar. Pemerintahan Saidina Uthman pula berbeza dengan Saidina Umar. Saidina Uthman memerintah dalam keadaan yang amat lembut berbeza dengan Saidina Umar yang begitu tegas. Sehinggakan ada yang mengambil kesempatan terhadap Saidina Uthman. Hal ini membawa kepada satu peristiwa di mana Saidina Uthaman dikepung oleh puak-puak pelampau yang mahu menjatuhkan Saidina Uthman. Oleh kerana kelembutan Saidina Uthman, beliau sanggup mengarahkan sahabat-sahabatnya supaya jangan menyerang atau mempertahankan Saidina Uthman kerana bimbang berlakunya pertumpahan darah.

Lalu puak pelampau ini masuk menyerang dan membunuh Saidina Uthman ketika beliau sedang membaca al-Qur’an. Suasana umat Islam ketika itu kembali kucar-kacir. Sahabat Saidina Uthman berazam untuk membalas dendam kepada mereka yang telah membunuh Saidina Uthman. Umat Islam pada ketika itu tiada pemimpin. Maka mahu atau tidak mahu, Saidina Ali terpaksa memikul tanggungjawab sebagai pengganti kepada Saidina Uthman yang mati dibunuh. Keadaan pada waktu itu lebih teruk berbanding ketika Saidina Uthman mengambil alih pemerintahan.

Sahabat-sahabat Saidina Uthman yang begitu pro kepada pemerintahan Saidina Uthman menuntut supaya Saidina Ali menghukum pembunuh Saidina Uthman. Ada pula yang tidak bersetuju dan menentang Saidina Ali menjadi pemerintah kerana di bawah pemerintahan Saidina Ali terdapat orang yang mempunyai kaitan dengan pembunuh Saidina Uthman. Apakan daya, Saidina Ali terpaksa juga mengambil alih pemerintahan ini memandangkan dunia umat Islam sekian hari tiada pemimpin.

Di kala umat Islam dalam keadaan kucar kacir, para sahabat merujuk kepada Saidatina Aisyah yang merupakan Ummul Mukminin. Mereka mendesak Aisyah menegakkan kebenaran dengan menghukum pembunuh Saidina Uthman. Maka Aisyah bersama tentera-tentera para sahabat keluar berperang mencari pembunuh Saidina Uthman. Melihat kepada keadaaan itu, Saidina Ali lantas bertindak dengan menghantar tentera-tenteranya untuk berunding dengan Aisyah dan berdamai.

Dikalangan tentera-tentera Saidina Ali ini terdapat golongan munafik yang berniat untuk menghalang perpaduan dikalangan tentera Aisyah dan tentera Saidina Ali. Mereka bimbang sekiranya tentera Saidina Ali dan Aisyah berdamai, maka wujud kuasa yang besar dan tidak mustahil golongan munafik ini akan diambil tindakan. Lalu di tengah malam, golongan munafik ini menyerang tentera Aisyah secara sembunyi. Aisyah menyangka tentera Saidina Ali telah melakukan khianat. Lalu Aisyah mengarahkan serangan balas terhadap tentera Saidina Ali. Saidina Ali pula menyangka tentera Aisyah menyerang tenteranya.

Di sinilah bermulanya tercetus Perang Jamal di antara Aisyah dan Saidina Ali. Perang antara umat Islam yang sepatutnya tidak berlaku. Peperangan inilah yang membawa kepada lahirnya puak yang dinamakan Syiah dan Khawarij. Beginilah apabila kita lihat bagaimana ‘politik’ dapat memecahbelahkan umat Islam. Isu yang bermula ketika Saidina Ali mengambil alih pemerintahan umat Islam. Ada golongan yang menentang dan ada juga golongan yang pro kepada Saidina Ali. Pro Saidina Ali mendakwa bahawa Rasulullah telah bersabda bahawa Saidina Ali wajib dilantik sebagai pemerintah.

Golongan pro Saidina Ali ini sanggup mengeluarkan hadith-hadith palsu menyokong pelantikan Saidina Ali. Mereka telah mengagung-agungkan Saidina Ali. Mereka memberikan alasan bahawa ahlul bait iaitu keluarga atau keturunan Rasulullah perlu diangkat menjadi pemimpin. Layak berbanding orang lain. Mereka memandang keturunan berbanding kebolehan memimpin yang ada pada Saidina Ali. Padahal Rasulullah dalam sejarah kepimpinan Baginda, Baginda melantik mereka yang benar-benar berkemahiran untuk memimpin. Bukannya keturunan ataupun pengetahuannya dalam agama. Walaupun mereka adalah alim ulamak, Baginda tidak melantik mereka sebagai pemimpin kerana mereka tidak tangkas dalam politik.

Inilah realiti yang berlaku apabila umat Islam menyalahgunakan politik dalam agama. Inilah bahayanya mencampurkan politik dengan Islam dengan cara yang tidak betul. Setelah lahirnya golongan Syiah, mereka yang menentang Saidina Ali ini keluar dan mewujudkan kefahaman baru dalam Islam. Mereka menentang sesiapa yang melakukan dosa besar, yang tidak memerintah secara adil. Sehinggakan mereka mengeluarkan ‘fatwa’ sendiri iaitu “sesiapa yang melakukan dosa besar mereka dianggap menentang Tuhan dan sesiapa yang menetang Tuhan adalah Kafir” Maka lahirlah satu lagi golongan besar yang menetang Saidina Ali yang dinamakan puak Khawarij.

Inilah bahayanya apabila isu politik ditukar menjadi isu agama. Maka wujudlah perbalahan di mana puak Khawarij sering kafir-mengkafirkan puak yang mereka anggap salah. Inilah akibatnya pegangan akidah yang lemah. Mereka telah meletakkan Islam di bawah politik. Ditambah pula pasukan-pasukan Yahudi dengan angkuhnya memisahkan Islam dengan politik, memisahkan Islam dengan ekonomi dan memisahkan Islam dengan sosial.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...