Sultan amat tersinggung
SHAH ALAM  – Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke 
atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream
 Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu mendapati berlaku 
cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam
Sehubungan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah 
melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang 
cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri ini.
Berikutan adalah kenyataan penuh Sultan Sharafuddin Idris Shah:-
Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di
 atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama
 Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 
majlis ‘Thanksgiving Dinner’ yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream 
Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.
Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa 
dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut
 sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang 
telah diambil oleh pihak JAIS.
Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab 
menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai 
tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini 
sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama 
Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang
 Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal
 (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai 
pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, 
Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh
 JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci 
dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan 
tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri 
Selangor ini.
Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang 
diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri 
Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan 
Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam)
 Negeri Selangor, 1988.
Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah 
agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar 
menghormati penganut-penganut agama lain.
Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan 
untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.
Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan 
Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di 
Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan 
pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.
Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) 
Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah 
memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk 
mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.
Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam 
Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud 
sekian lama terus dikekalkan.
Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba 
mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam 
terhadap agama Islam.
Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam.
Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.
Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak 
JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan 
undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada 
orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan 
kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.
Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap
 orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan 
kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan 
dipertingkatkan.
Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan 
aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan 
mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri
 Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan 
aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.
Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat 
mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak 
tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam 
dalam Negeri Selangor ini.
Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya 
sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya 
tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang 
diperuntukkan di bawah undang-undang.
Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima 
kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini 
dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah 
bahagi kepada JAIS.
Penuntut UiTM diarah jalani pemulihan akidah
MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
 
KOTA BHARU: Mahkamah Rayuan Syarie Kelantan mengarahkan seorang 
pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, yang pernah 
membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian, diberi bimbingan khas 
oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Daud Muhammad yang dibantu dua 
ahli panel, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim dan Tan Sri Ghazali Abd 
Rahman selepas menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Hashim
 Deraman supaya pelajar itu diletakkan di Pusat Pemulihan Akidah Ulu 
Yam, Selangor.Hashim memohon Mahkamah Rayuan membuat semakan semula 
keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu terhadap Mohd Fariz Ilham Mohd 
Zulkifli, 19, pelajar Diploma Seni Kulinari UiTM Dungun, supaya diletak 
di bawah pengawasan Unit Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan 
(JAHEAIK).Hashim berhujah, Unit Dakwah JAHEAIK hanya sebuah jabatan yang
 tidak mempunyai kelengkapan khas untuk memberi bimbingan secara khusus 
kepada Mohd Fariz Ilham dalam usaha memulihkan akidahnya.
Berikutan permohonan Hashim itu, Daud menyoal pelajar berkenaan sama 
ada sepanjang bersama pegawai JAHEAIK, dia mengikuti kelas bimbingan 
akidah dan Mohd Fariz Ilham memaklumkan, dia sempat menyertai beberapa 
siri ceramah.
“Saya mengikuti siri ceramah anjuran JAHEAIK dan saya bukan seorang 
yang mudah dipengaruhi, selain mempunyai cara sendiri untuk berubah,” 
katanya ketika disoal Daud sama ada dia menghadapi masalah atau 
kesukaran menerima bimbingan dalam usaha memulihkan akidahnya akibat 
membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian sebelum itu.
Mohd Fariz Ilham berkata, dia menerima pembelajaran agama Islam 
daripada kedua-dua ibu bapanya sejak kecil dan mengaku mempunyai kawan 
bukan beragama Islam ketika menuntut di UiTM Dungun.
“Saya masih menunggu jawapan untuk bekerja sebagai penjawat awam di 
Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sebagai penceramah penduduk Orang Asli. 
Jika permohonan ini diterima, ia mungkin dapat membantu saya mengubah 
orang lain dan pada masa sama, saya juga boleh mengubah diri sendiri,” 
katanya sambil mengaku turut sembahyang lima waktu dan berpuasa.
Berikutan pengakuan Mohd Fariz Ilham itu, Daud dan dua ahli panel 
sebulat suara memutuskan supaya penjagaan dan bimbingan khas bagi 
memulihkan akidah pelajar itu diserahkan kepada MAIK.
“Mahkamah Rayuan Syarie membuat keputusan supaya kamu diletakkan di 
bawah bimbingan MAIK dan tidak perlu dipindahkan ke Pusat Pemulihan 
Akidah Selangor,” katanya.
“Keputusan ini juga boleh memberi keselesaan kepada dirinya kerana dia juga tidak keluar dari negeri ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar itu yang sebelum ini mengaku 
menukar agama kepada Kristian, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di 
sini, bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam.
Berikutan pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty 
memerintahkan Mohamad Fariz Ilham, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang 
jemaah di tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada imam 
masjid itu selama enam bulan, berkuat kuasa 4 Mei lalu.
Murtad: Pelajar diletakkan di pusat pemulihan akidah
KOTA BHARU 21 Sept. – Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini 
membatalkan perintah terhadap seorang pelajar Universiti Teknologi Mara 
(UiTM) cawangan Dungun, Terengganu untuk ditempatkan di Unit Dakwah, 
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIK) bagi memulihkan akidahnya
 selepas mengaku murtad.
Mohamad Fariz Ilham Mohd. Zulkifli, 19, yang berasal dari Pengkalan 
Chepa itu sebelum ini ditempatkan di bawah pengawasan Majlis Agama Islam
 Kelantan (MAIK) untuk mendapatkan bimbingan sewajarnya.
Panel rayuan itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie, Kelantan, 
Datuk Daud Muhammad yang bersidang dengan dua panel lagi iaitu, 
Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Syeikh 
Ghazali Abd. Rahman; dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz 
Sheikh Abdul Halim.
Dalam keputusan tersebut, panel rayuan sebulat suara bersetuju dan 
berpuas hati dengan rayuan yang dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie 
Kelantan, Hashim Deraman bahawa tempat yang dipilih sebelum ini tidak 
sesuai atau tidak selesa untuk memulihkan akidah Mohamad Fariz Ilham 
yang dinamakan sebagai responden.
Ini kerana mahkamah mendapati, responden lebih banyak menyertai 
aktiviti ceramah yang dianjurkan oleh JHEIK sedangkan ia memerlukan 
lebih bimbingan, perlindungan serta makan dan minum.
Pihak pendakwa juga mengesyorkan agar responden diletakkan di pusat 
pemulihan akidah Ulu Yam, Selangor dengan makan dan minumnya ditanggung 
oleh JHEIK atau mana-mana pusat pemulihan yang sesuai namun cadangan itu
 ditolak oleh mahkamah.
Dalam prosiding itu, Mohamad Fariz Ilham juga ditanya sama ada akidahnya telah pulih atau sebaliknya.
Remaja itu dengan nada perlahan menjawab: “Pada bulan Ramadan 
baru-baru ini saya berpuasa atas kerelaan sendiri dan tidak membantah. 
Saya rasa ada perubahan pada diri sendiri, tetapi kena ambil masa.”
Selepas mendengar keputusan itu, responden memohon mahkamah 
melepaskannya daripada pengawasan MAIK jika permohonannya sebagai 
penjawat awam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bahagian 
pembimbing di Jabatan Orang Asli, diterima.
“Saya kurang gemar mendengar cakap-cakap orang (teguran) kerana lebih
 suka dengan cara sendiri. Dengan adanya pekerjaan sebagai pembimbing 
orang Asli, saya berharap mampu membantu saya membimbing diri sendiri ke
 arah yang lebih baik,’’ katanya.
Bagaimanapun hakim berkata, ia bergantung kepada keputusan MAIK.
Pada 24 April lalu, Mohamad Fariz dirujuk oleh keluarganya ke JHEIK 
selepas mengaku keluar daripada Islam dan memeluk agama Kristian.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan perintah pada 2 Mei lalu
 supaya responden diletakkan di bawah pengawasan Unit Dakwah di JHEIK.
Permohonan itu menyebut Mohamad Fariz, yang menggunakan nama samaran 
Tyrone, mula berjinak-jinak dan menghadiri upacara gereja sejak 3 
Disember 2010 serta mengaku berhasrat menukar agama di luar negara. – 
Utusan
GEREJA BARU DI JOHOR UNTUK MURTADKAN ORANG ISLAM…!!!
Ia
 mengenai satu kegiatan gereja radikal dari Singapura yang mula 
menjalankan dakwahnya di tanah Semenanjung, dikepilkan juga satu surat 
bercop URGENT (Segera) untuk perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Tajuk surat dalam bahasa Inggeris itu berbunyi: Gereja baru di JB 
untuk memurtadkan orang Islam. Gereja itu menjalankan kegiatan agama dan
 mesyuarat penyebaran dakwahnya (evangelistic meeting) di sebuah hotel 
di Johor Bahru setiap pagi Ahad.
Gerakan ini ialah lanjutan daripada sebuah gereja radikal di 
Singapura, Victory Family Centre (VFC) (juga dikenali sebelumnya sebagai
 Calvary Charismatic Centre (CCC) pada 1990. Pengasas VFC Singapura 
ialah Rev. Dr. Rick Seaward (rakyat Singapura berbangsa Amerika) ialah 
seorang paderi yang radikal dan agresif berdakwah ke atas orang Islam.
Paderi kepada gerakan di JB itu ialah Paderi Jeremy Seaward, anak 
kepada pengasas VFC Singapura itu. Surat itu mendakwa, misi mereka ialah
 menubuhkan pusat itu di JB dan visinya untuk melebarkan kerja-kerja 
dakwah, khususnya kepada orang Islam di seluruh Malaysia.
Gereja VFC itu menukar namanya daripada CCC pada 1990-an setelah 
kerajaan Singapura menumpaskan kegiatan dakwah mereka atau evangelikal 
secara radikal terhadap orang Islam, yang dikhuatiri akan mengganggu 
keharmonian beragama di negara pulau itu.
Kerajaan Singapura kemudian mengeluarkan satu Kertas Putih (White 
Paper) yang menyebut Rev. Rick Seaward sebagai punca mengapa Singapura 
perlu meluluskan satu undang-undang baru yang berbunyi: ‘‘Akta 
Memelihara Keharmonian Beragama’’ (The Maintenance of Religious Harmony 
Act).
 
Majlis Agama Islam Johor kenal pasti golongan murtad
JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan 
menempatkan mereka yang mengalami gangguan akidah di Pusat Bimbingan 
Mutiara Kasih (PBMK) bagi membolehkan golongan itu dipulihkan semula 
dari segi kerohanian.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Othman 
berkata, PBMK yang terletak bersebelahan Masjid Taman Perling, dekat 
sini sememangnya dibina khas untuk mengatasi masalah murtad yang 
menunjukkan perkembangan membimbangkan.
“Secara umumnya sasaran kita adalah para remaja yang menunjukkan 
tanda-tanda akan murtad. Golongan ini perlu dipulihkan akidah mereka 
bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.
“Bagi menggerakkan PBMK yang dibina dengan kos RM10 juta itu, MAIJ 
mendapat peruntukan yang banyak daripada Baitulmal,” katanya ketika 
dihubungi 
Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau mengulas 
kegiatan gereja radikal dari Singapura yang mula memurtadkan orang Islam
 di bandar raya ini dan seterusnya di seluruh negara, seperti didedahkan
 Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan menerusi
 kolum 
Cuit semalam.
Zaini menerusi kolum itu menyatakan menerima sepucuk surat yang 
dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun 
Hussein bertajuk ‘g
ereja baru di JB untuk memurtadkan orang Islam.’
Kata Zainal Abidin lagi, pegawai Bahagian Penyelidikan MAIJ telah 
mengenal pasti golongan murtad serta mereka yang mempunyai kecenderungan
 untuk keluar daripada Islam bagi membanteras kegiatan yang membahayakan
 itu.
“Untuk makluman, sebelum ini kita begitu proaktif mengekang dan 
menyekat umat Islam daripada terjerumus menjadi murtad. Malah apa yang 
membanggakan kita telah berjaya memulihkan akidah mereka.
“Maknanya langkah kerajaan Johor menubuhkan PBMK memang kena pada 
masanya yang mana kita dapat memulihkan mereka yang terkeluar akidah 
menerusi cara tersusun,” katanya.
Tambah Zainal Abidin, pihaknya yakin kewujudan pusat tersebut mampu 
mengurangkan kebimbangan umat Islam berhubung kegiatan sebuah gereja 
radikal di Singapura yang mempunyai misi untuk melakukan kerja-kerja 
dakwah kepada umat Islam di negeri ini.