GEJALA murtad
 di kalangan orang Islam negara ini sudah sampai ke tahap kritikal. 
Bilangan kes orang yang dilahirkan Melayu-Islam yang mohon tukar nama 
asal serta saudara baru yang tidak mengamalkan cara hidup Islam atau 
mahu balik ke agama asal meningkat tahun demi tahun. 
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menggemparkan seluruh negara 
apabila menyebut bilangan mereka yang murtad mencapai hampir suku juta. 
Semasa pendedahan ini dibuat pada tahun 2008 dulu, ramai yang tidak 
percaya. Ada juga yang mempersenda, kononnya beliau menyebut angka macam
 membilang jari saja. 
 
Hakikat semakin ramai orang Islam yang terpesong sangat menakutkan. 
Bekas Mufti Kuala Lumpur Ustaz Shaari Bustamah pernah memaklumkan bahawa
 bilangan murtad di ibu kota sehingga Julai 1997 ialah 3,000 orang. 
Kajian di Jabatan Statistik menunjukkan terdapat 4,776 permohonan pada 
tahun 1989 sahaja. 
 
Mengikut rekod Mahkamah Syariah, seramai 863 kes telah dirujuk 
kepadanya antara tahun 2000 hingga 2010 bagi tujuan menukar status agama
 Islam. Daripada bilangan ini, 168 kes telah diluluskan. Kajian lain 
menunjukkan bahawa 519 permohonan menukar nama Islam kepada bukan Islam 
dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara antara 1994 dan 1997, yang 
mana 48 peratus permohonan diluluskan. 
 
 Portal bebas Malaysiakini melaporkan   bahawa 686 permohonan tukar status   agama telah dirujuk kepada pihak   Mahkamah Syariah dan daripada itu, 135   kes diluluskan. Paling banyak ialah di   Sabah (238 permohonan; 67 diluluskan),  
 Negeri Sembilan (172; 33), Selangor (99), Wilayah Persekutuan (56;10), 
Perak (47;12) dan Pulau Pinang (36;1), diikuti Melaka (12:3), Pahang 
(8;7), Johor (8), Kedah (5;1), Perlis (3;1), manakala Sarawak dan 
Kelantan masing-masing 1 permohonan. 
 
Walaupun bilangan kes berbeza-besa mengikut sumber, yang jelasnya ia 
kian meningkat. Beberapa siri Program Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) 
telah diadakan bagi menzahirkan kebimbangan ini serta sokongan umat 
Islam terhadap gerakan membasmi kemurtadanan dikalangan orang Islam. 
Setakat ini, HIMPUN telah diadakan di Shah Alam, Selangor; Kuala 
Kangsar, Perak dan Paroi, Negeri Sembilan. Seterusnya, HIMPUN akan 
diadakan di Pulau Pinang pada 28 Januari 2012. 
 
Pengerusi HIMPUN, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bilangan kes 
permohohan dan kelulusan murtad menggambarkan ianya satu isu besar dan 
serius yang perlu diberi perhatian dan ditangani semua pihak. 
Menurutnya, sebahagian besar permohonan diterima untuk keluar Islam 
terdiri daripada golongan saudara baru. Usaha sedang dilakukan untuk 
mengemaskini maklumat agar mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai 
gejala ini dikalangan saudara baru. Manakala dikalangan orang Melayu 
asal, gejala murtad banyak dikalangan golongan remaja lingkungan umur 
20an. 
 
Menurutnya lagi, antara faktor berlakunya gejala murtad ialah masalah
 kemiskinan, kesempitan hidup dan juga kurang ilmu mengenai Islam. 
Daripada pemerhatian dan pengalaman, didapati bahawa selain lemah 
pegangan agama serta jahil mengenai hukum hakam dan akidah, golongan 
terbabit mudah terpengaruh dengan agama lain. Faktor perkahwinan juga 
boleh mendorong seseorang Islam menjadi murtad. Inilah yang diperolehi 
daripada siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas 12 orang 
Islam yang diselamatkan di Gereja Methodist Damansara Utama pada Ogos 
tahun lalu. 
Gejala merebak 
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said baru-baru ini memberi 
amaran kepada pihak yang berusaha memurtadkan umat Islam negeri itu 
supaya jangan “bermain api”, kerana tindakan mereka bukan sahaja 
bertentangan dengan Perlembagaan malah boleh mencetuskan ketegangan kaum
 dan agama. 
 
“Kena hormat orang Islam kerana ini negara Islam. Perkara ini adalah 
isu yang sensitif. Ini soal serius. Jangan cuba bermain api,” kata Ahmad
 sebagai mengulas laporan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) 
mengenai gerakan pihak tertentu yang aktif memurtadkan orang Melayu di 
negeri itu, termasuk orang kelainan upaya (OKU). 
 
Bekas exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau mempunyai bukti
 nyata berhubung gerakan pihak ini. Katanya, sejak penubuhan Unit 
Selamatkan Akidah di bawah portfolio beliau semasa menjadi Exco 
Selangor, seramai 51 orang Melayu-Islam telah melahirkan keinginan untuk
 bertaubat dan pulang ke pangkal jalan. “Mereka dibekalkan bible 
terjemahan Bahasa Melayu. Bukan Bahasa Indonesia yang orang kita sukar 
faham, tetapi Bahasa Melayu. Saya ada contoh salinan bible itu.” 
 
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dan AJK Pas Pusat ini melahirkan 
keinginan untuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Kristian dan orang
 Melayu-Islam yang pernah murtad. “Sekiranya pihak yang murtad bersetuju
 bertemu pihak paderi dan ilmuan agama, kita mahu dengar daripada mulut 
mereka sendiri, sekali gus membuktikan apa yang saya cakap adalah benar. 
 
“Saya mahu pimpinan Kristian, tokoh agama, mufti dan intelek agama 
mendengar daripada mulut mereka yang telah memeluk agama Kristian 
sebagai bukti mereka telah terjebak dengan ajaran Kristian dan cubaan 
memurtadkan orang Islam Ini kerana mereka takut tampil ke hadapan, 
bimbang dengan risiko, kecaman masyarakat, keselamatan nyawa dan takut 
dipandang hina masyarakat.” 
 
Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan, dalam 
ruangannya ‘Cuit’ pada 7 Ogos 2011 berkata gerakan kristian ini bukan 
sahaja bergerak secara agresif di negara ini tetapi juga melangkaui 
sempadan. Gerakan mereka ini tidak kelihatan dengan imej pakaian ala 
berkopiah putih, tabligh atau purdah, tapi cukup halus. Mereka juga 
membuka kelas bahasa Inggeris dan muzik di beberapa negara seperti 
Vietnam, Kemboja dan Indonesia. Bukan kelas-kelas biasa, tapi bertujuan 
menerapkan agama mereka. 
 
“Di mana NGO-NGO Islam yang kononnya kuat dan Islamik itu? Malangnya 
mereka ini lebih kuat berpolitik daripada menjalankan kerja-kerja dakwah
 sebenar...Mana perginya Persatuan Mahasiswa Islam dan Gabungan 
Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang garang itu. Mereka hanya garang 
kepada pemerintah kerajaan, yang bagi mereka itu tidak kena, ini tidak 
kena. Mengapa tidak dilakukan kerja-kerja sosial seperti yang dilakukan 
oleh gerakan Kristian itu?” 
 
Cara Halus 
Semasa kecil, ramai dikalangan kita yang diajar lagu ini: Are you 
sleeping, are you sleeping, Brother John, Brother John. The morning bell
 is ringing, the morning bell is ringing, ding dong bell, ding dong 
bell. 
Penulis tidak tahu sama ada lagu ini masih diajar di sekolah-sekolah 
rendah atau tidak. Namun, ketika itu, penulis dan rakan-rakan lain tidak
 begitu faham maksudnya samada Brother John merujuk kepada paderi atau 
abang bernama John, dan samada morning bell yang dimaksudkan itu loceng 
gereja atau loceng di rumah. 
Seorang teman yang pernah belajar di sekolah Methodist di Sungai 
Siput, Perak berkata beliau juga tidak tahu maksud perkataan itu atau 
jenis sekolah di mana beliau dihantar.“Ketika itu, tidak ada sebab untuk
 meragui apa-apa kerana tak dengar pula unsure mengalihkan akidah 
sesiapa. Kawan Cina tetap dengan amalan dan kepercayaan mereka, begitu 
juga dengan kawan India, apatah lagi dengan kawan Melayu-Islam,” kata 
Hanizam Abdullah, seorang pengarang di Berita Harian. 
 
Baru-baru ini, sebuah pusat tuisyen percuma di Jalan Kuchai Lama 
didakwa cuba memesongkan akidah murid Melayu terutama daripada keluarga 
miskin dan setinggan sejak lapan tahun lalu. Anak-anak kecil diajar 
menyanyi lagu memuji Jesus Christ oleh sekumpulan muda mudi bukan 
Melayu. Antara lagu-lagu yang diajar termasuk Yes, I Know Jesus Loves Me dan Hari Ini Ku Rasa Bahagia yang memuji Christ sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib. 
 
Seorang tukang cuci, Rosiati Mohd Repha, 41, ibu kepada dua anak 
berumur tujuh dan 12 tahun belajar di pusat tiusyen itu, tidak sangka 
guru-guru di situ cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus. Beliau 
menghantar anak-anak ke sana kerana tiada yuran dikenakan. “Kerap 
anak-anak saya bawa balik hadiah kerana menang pertandingan menyanyi,” 
katanya, sambil mendapati anak-anaknya hanya menggunakan satu buku 
latihan sahaja yang bertulis ABC dan lukisan yang tiada kaitan dengan 
sukatan pelajaran tahun enam.” 
 
Bekas Pengerusi Rukun Tetangga kawasan tersebut, Rosiah Ibrahim, 52, 
berkata pusat tiusyen itu mengajar pelajar menyanyi lagu-lagu Kristian 
dan dipertontonkan video mengenai Jesus Christ. Kuiz mengenai agama 
Kristian sering diadakan dan hadiah diberi kepada pemenang. 
 
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman 
berkata usaha untuk mengkristiankan orang Islam pada masa ini bukan 
sahaja menarik penganutnya ke dalam agama Kristian tetapi cukup dengan 
menjauhkan orang Islam daripada agamanya. Ujar beliau lagi, walaupun 
usaha itu berselindung di sebalik alasan kebebasan beragama, ia 
terang-terangan melanggar peruntukan Perlembagaan dalam Perkara 11 (4) 
yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mengajak orang Islam keluar 
daripada agama. 
 
“Ini bermakna wujud larangan penyebaran lain-lain agama selain 
daripada Islam terhadap orang Islam dan kerajaan harus mengambil 
tindakan paling tegas untuk memastikan kesucian agama Islam dengan 
mengguna pakai segala peruntukan perundangan yang ada,” katanya. 
 
Pengaruh Media Sosial 
Setiausaha Agung ISMA, Aminuddin Yahya, berkata kajian Sekretariat 
HIMPUN mendapati golongan remaja wanita Islam yang melayari laman social
 Facebook (FB) antara mereka yang terdedah dengan aktiviti murtad. Trend
 terbaru ini cukup membimbangkan memandangkan mereka sering menggunakan 
FB untuk berkenalan dengan rakan-rakan lain. Ramai yang mudah 
terpengaruh dan akhirnya tidak teragak-agak meninggalkan Islam, terutama
 yang mana nipis akidah dan rendah pengetahuan agamanya. 
 
“Bermula dengan perkenalan selepas itu mahu berjumpa dan kemudiannya 
jatuh cinta. Ketika bercinta apa sahaja mereka sanggup lakukan 
termasuklah keluar agama. Melalui kajian yang kita lakukan, kebanyakan 
yang terlibat ialah belia dan remaja wanita.” 
 
Malah, katanya, sudah ramai yang dibaptiskan dan mengikuti upacara 
keagamaan. Namun, dengan bantuan dan kerjasama beberapa NGO Islam lain, 
ISMA telah berjaya menyelamatkan sebahagian daripada mereka yang 
terjebak dengan gejala ini. 
 
Perkara ini diakui Hanizam, yang pernah belajar di sekolah Methodist.
 Dalam sebuah rencananya di Berita Harian tahun lalu, beliau menulis: 
“Berlambak e-mel yang saya dapat, menghebahkan cerita wujudnya kumpulan 
yang semakin melebarkan pengaruhnya dalam usaha memurtadkan orang 
Melayu-Islam di Malaysia. Kata e-mel itu, waspada kalangan pemuda, 
pemudi yang nampak seragam baju putih, seluar hitam. Mereka memang baik 
dan sering mempamerkan sikap mengambil tahu mengenai kebajikan sasaran 
mereka.” 
 
Beliau memberi contoh seorang pelajar sekolah agama di Lembah Kelang 
yang lengkap berpurdah, bijak berhujah dan bersolat lima kali sehari 
tetapi di lehernya tersangkut rantai salib. Akhirnya, pelajar itu 
terpaksa menjalani kaunseling. 
 
Ulama kanan Iran Ayatollah Lotfollah Safi-Golpaygani baru-baru ini 
menetapkan FB sebagai bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus berdosa 
menjadi ahlinya kerana menggalakkan peri laku tidak bermoral. Perangkaan
 rasmi menunjukkan bahawa bilangan pengguna FB di Iran ialah 17 juta 
orang, terutama golongan muda. Kira-kira 60 peratus daripada penduduk 
Iran berjumlah 70 juta adalah di bawah umur 30 tahun. 
 
Kata beliau: “Pada asasnya, perbuatan melayari mana-mana laman web 
yang menggalakkan peri laku tidak bermoral dan melemahkan pegangan agama
 bercanggah dengan Islam dan tidak dibenarkan selain menjadi ahli adalah
 haram. Hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan 
tidak membawa kepada sebarang peri laku atau etika tidak bermoral, tiada
 masalah.” 
 
Langkah Ke Depan 
Baru-baru ini, HIMPUN telah memanjangkan 10 resolusi kepada rakyat 
Malaysia, antaranya menyeru semua pihak menghormati dan mendokong 
peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan 
payung kepada pentadbiran Islam di negara ini. Resolusi itu juga 
menuntut kerajaan memasukkan undang-undang pencegahan yang tegas dan 
kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam Perlembagaan, sebagai 
mengimbangi pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 
 
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata: “This
 is not something that cannot be done. For those who don’t want to be 
Muslims anymore, what can you do? If they want to leave the religion, 
what are you going to do?  You might as well let them go.” 
 
Petikan AFP bertarikh 10 Julai 2007 ini dikeluarkan seminggu 
selepas Siti Fatimah Abdullah dibenarkan murtad dan menggunakan nama 
asalnya, Revathi Masoosai. 
 
Dalam konteks inilah HIMPUN menuntut Kerajaan mengambil langkah 
segera menggubal undang-undang khusus membendung gejala memurtadkan umat
 Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
 Selaras ini, dicadangkan agar proses penyeragaman undang-undang syariah
 antara negeri dilaksanakan segera bermula dengan mewujudkan sistem 
pengurusan Hisbah. 
 
“Tindakan tegas hendaklah dikenakan terhadap mereka yang secara jelas
 memurtadkan orang Islam. Saya kesal kes memurtadkan yang dilakukan 
sebuah gereja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu tidak dikenakan 
tindakan,” kata Mohd Azmi. 
 
Turut digesa ialah kerangka jangka panjang dengan misi mengarus 
perdanakan syariah dalam semua aspek pengurusan dan sektor umat Islam di
 negara ini hendaklah segera dilaksanakan. “Sejak Merdeka, Islamisasi 
pentadbiran negara belummencapai tahap yang sepatutnya walhal peruntukan
 3 dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya menjadi payung 
undang-undang kepada semua usaha mengarus perdanakan syariah di negara 
ini,” kata Mohd Azmi. 
Selain penyeragaman syariah dalam bidang yang sudah diusahakan iaitu 
sektor kewangan negara termasuk perbankan, insuran, pajakan dan 
pelaburan, banyak lagi sektor yang harus diterjemahkan konsep Islam yang
 syumul dalam pentadbiran negara. Misalnya, undang-undang syariah 
bolehlah digubah di peringkat pusat supaya menjadi asas melaksanakan 
konsep pentadbiran Islam dalam semua bidang. 
 
“Jika transformasi terhadap Sistem Pengurusan Islam di negara ini 
mahu dilaksanakan dengan serius, kami menggesa keutamaan perlu diberi 
kepada mengujudkaan sistem hisbah seperti yang dituntut dalam 
pentadbiran Islam,” tambah beliau. 
 
Menjadikan prinsip hisbah sebagaimana yang dilaksanakan dalam 
pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga zaman Khulafa 
ar-Rasyidin sepatutnya digubal sebagai perundangan sekaligus sebagai 
dasar. Beliau berpendapat penekanan kepada transformasi pengurusan Islam
 semestinya bermula daripada usaha mewujudkan skima melahirkan insan 
petugas yang berkualiti tunggak. Petugas yang diterap dengan kualiti 
ketakwaan, akhlak serta amanah dan pertanggungjawaban menjadi asas untuk
 merombak pengurusan yang sedia ada. 
 
Hal lain yang bersifat prasarana, profesionalisme dan struktur adalah
 aspek sekunder yang boleh dibangunkan kemudian setelah sistem pembinaan
 kualiti insane dilaksanakan dengan mantap. Mohd Azmi menggesa semua 
pihak mendekati isu yang menggugat akidah umat Islam melalui kegiatan 
pemurtadan diatasi dengan menguatkuasakan undang-undang yang berkesan 
serta dakwah dan dialog berterusan. 
 
HIMPUN juga menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian 
Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada
 akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar. 
 
Selain itu, Kerajaan juga perlu mengadakan program penerangan 
menyeluruh agar masyarakat berbilang kaum dan agama dapat memahami Islam
 dan kedudukannya di dalam negara bagi memahami Islam dan kedudukannya 
di dalam negara bagi menghapus prasangka dan kekeliruan terhadap Islam. 
Kerajaan juga perlu mengawal kegiatan media berkaitan penyiaran yang 
menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah 
diambil tindakan yang tegas mengikut perundangan undang-undang yang ada. 
 
Manakala umat Islam pula diminta melupakan perbedaan fahaman politik 
dan lain-lan hambatan untuk bersama bersatu memikul tugas berat 
mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarag bentuk 
pencerobohan. | 
0 comments:
Post a Comment