Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

09 January 2013

Peranan sebenar Tentera Fisabilillah


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Kepada Sekalian Saudaraku,

Sudah sampai masanya, kami ingin menyeru kepada saudara islam dan pejuang fisabilillah yang kami hormati sekalian untuk mengkaji semula budaya hidup melayu pada hari ini. Kerana terlalu banyak ruang, yang telah dibiarkan sehingga bersarang dalam hidup kita tanpa ada tindakan memperbaikinya secara keseluruhan. Artikel kali ini memerlukan kerjasama para ketua-ketua badan fisabilillah untuk memastikan keberkesanannya.

Ramai yang menyeru supaya kita semua BERSATU. Itu adalah perkara yang sangat baik. Tapi adakah dengan menyeru saja sudah mencukupi? Dan selepas menyeru kita boleh lepas tangan begitu saja tanpa menggalas tanggungjawab dalam seruan itu? Tentunya Tidak. Seruan hanyalah dalam bentuk kata-kata semangat yang disampaikan kepada pihak lain tapi ia sekadar angin lalu saja dan ia tidak akan berkesan melainkan kita memasang sistem Monitoring dan Control yang baik. Seruan sesiapa pun mampu menyeru Tapi untuk mengambil tanggungjawab itu, berapa kerat saja yang mampu. Dan kami di sini ingin mengucapkan tahniah kepada badan fisabilillah yang telah dan sedang berusaha menggalas tanggungjawab itu.

Antara perkara paling asas yang wajib diberikan perhatian adalah kenapa adanya perbezaan pemahaman? Ia adalah kerana kita masih belum ada sistem yang efektif untuk memastikan semua ahli fisabilillah mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang sama rata.Terlalu banyak konflik dan perselisihan faham berlaku yang punca utamanya adalah maklumat dan pemahaman yang tidak sekata. Ini adalah perkara pokok (pendidikan), yang perlu dibincangkan di pengurusan tertinggi Badan Fisabilillah seluruh Malaysia untuk merapatkan jurang ini untuk ke arah penyatuan yang baik.

CARA UNTUK BERSATU

1. Semua ahli perlu mempunyai didikan, pengetahuan dan pemahaman yang sama tentang perjuangan. Fakta yang sama, dan perlu dibuang cerita yang ditambah-tambah perisanya supaya tidak meracuni pemikiran yang boleh melibatkan selisih faham. Ahli Majlis tertinggi fisabilillah seluruh Malaysia perlu mengadakan satu pertemuan untuk membuat silibus pengetahuan yang sama dan selaras. Ini adalah peranan majlis tertinggi.
2. Kemudian, semua ahli perlu bertanggungjawab memajukan diri sendiri, berperang dengan sifat buruk diri sendiri yang boleh memberi impak negatif kepada badan ini. Di sini lah peranan besar abang-abang untuk membantu ayahanda, membimbing adik-adik. Jadi, apa yang perlu dibimbing? Abang-abang perlu membimbing adik-adiknya untuk menjadi seorang yang matang dalam menyelesaikan masalah hidup dan berhenti campur tangan secara terus dalam menyelesaikan masalah adik. Abang hanya membimbing dan memberi sokongan moral dan bukan menyelesaikan masalah sendiri. Ingat adik-adik kita adalah pejuang fisabilillah, mereka sepatutnya dididik untuk menjadi insan matang yang boleh menyelesaikan masalah diri dan membantu saudara lain. Jika mereka sendiri tidak mampu menghadapinya dan sentiasa mengharapkan pertolongan abang-abang, mereka tidak akan matang. Kita perlu mengurangkan "bantuan" pada adik2.. kecuali ia melibatkan AGAMA, BANGSA dan TANAH AIR saja.
3. Menggalakkan adik beradik menyertai gelanggang persilatan sebagai aktiviti disiplin dan menyihatkan. Ini adalah sangat penting dan secara tidak langsung kita mempertahankan warisan seni mempertahankan diri warisan kita.

PERKARA YANG ANDA BOLEH IMPROVE SEBAGAI FISABILILLAH.

1. Mendalami ilmu agama, memahami hakikat kehidupan, kenapa anda dilahirkan. Siapakah diri anda? Apakah peranan anda? Mengkaji asal usul kejadian alam... kejadian manusia.. Mengenal Sifat Allah dan Mengenal Muhammad. Asal usul kejadian huruf hijaiyah, kenapa surah alfatihah ibu surah, kenapa tujuh ayat diturunkan secara berulang. Di mana letaknya surah yang mencerita simbolik kekuatan Allah? Kenapa 30 juzuk, kenapa surah ada 114? Kenapa kita selalu bermula dengan basmalah... Apakah rahsia huruf BA pada basmalah? Di mana titik asal BA?  (kami hanya membantu anda memberi bekalan untuk anda jadikan modal berjumpa dengan guru anda nanti....)

2. Elakkan bercerita perkara-perkara yang tidak sihat seperti cerita yang tidak ada jawapan jika dibincangkan.

3. Bersikap professional dengan manusia sejagat, dan belajar mengawal sikap marah dan bertindak tanpa usul periksa. Contohnya, jika anda mendapat satu cerita yang menaikkan kemarahan anda, cool down dulu... ambil masa untuk periksa sebelum anda mempercayainya.
Antara perkara yang anda boleh persoalkan ialah: 
- Dari mana sumber itu diperolehi?
-Siapa saksi cerita tersebut?
-Apakah niat si pencerita tersebut menyampaikan perkara ini kepada anda?
-Siapa yang terlibat dan puncanya?

4. Elakkan budaya mengikut kawan, pastikan anda sentiasa jelas dalam apa pun yang anda lakukan. Ini adalah penting untuk mengelakkan anda dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Walaupun ramai orang sokong tidak semestinya mereka betul.

5. Elakkan membuka kelemahan adik-beradik lain. Perkara inilah yang menyebabkan pahlawan handal kita zaman dulu kalah. Kecundangnya mereka adalah sebab ada pihak yang iri hati membuka kelemahan mereka.

6. Sentiasa menceritakan kebaikkan dan kehebatan adik-beradik, supaya kita disegani oleh pihak yang cuba mencari kelemahan dan menjatuhkan mereka.

7. Sentiasa mengarahkan diri untuk berkata benar. Elakkan bercakap bohong kerana inilah penyakit hati yang paling besar.


SEKIAN... SALAM SAYANG DARI KAMI. KAMI BERHARAP SEMUA AHLI FISABILLLAH DAPAT MEMBERI KERJASAMA YANG IKHLAS DALAM MENSTRUKTUR SEMULA DIRI SENDIRI, DALAM PROSES PENYATUAN SEMUA AHLI FISABILILLAH. MARILAH KITA BERDOA SUPAYA JEMAAH KITA SENTIASA KUAT DAN BERSATU PADU.


Sekiranya ada yang terkurang.. tersilap... Kami ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf. ///

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...