Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

09 January 2013

Selamat tahun Baru 2013 & Maal Hijrah 1434 H


Sempena Maal Hijrah dan tahun baru 2013 ini adalah masa yang tepat untuk kita memperbaiki mana yang silap. Menggilap segala aset dan potensi yang ada dalam diri kita. Sesungguhnya Allah Maha mengasihi hamba-hambanya yang bertaubat.

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam , selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad SAW serta para sahabat baginda. Selamat menyambut Maal Hijrah ke 1434 dan tahun baru 2013 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Tidak lupa untuk kita panjatkan doa kepada yang Maha Pencipta agar dikuatkan iman yang lemah untuk kebahagiaan di kehidupan yang kekal abadi kelak.
Sesungguhnya Allah telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya di kalangan hamba-hambaNya. Menjadikan dunia ini sekadar persinggahan, tempat beramal dan berusaha yang akan dituai hasilnya di akhirat kelak.
Benarlah firman Allah yang bermaksud :
“ Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh , berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Namun jika kita melihat kepada realiti umat hari ini, hati kita akan menjadi resah. Kemungkaran, maksiat, jenayah dan seumpamanya masih lagi berlaku di mana-mana. Ayat-ayat Allah semakin dilupakan , demikian juga sabdaan RAsulullah SAW.
Kita yakin bahawa semua orang mendambakan syurga, ingin mengecapi segala nikmat di dalamnya. Alhamdulillah agak ramai yang telah berpeluang mendapat pendidikan agama Islam, belajar fardhu ain dan tak kurang juga yang menghadiri kuliah serta pengajian di surau-surau dan masjid. Namun pada masa yang sama, jauh lebih ramai lagi bilangan mereka yang sering melakukan perbuatan yang seolah-olah mahu mencampakkan dirinya ke dalam neraka.
Lihatlah di dataran-dataran, konsert dan karnival hiburan. Biasanya akan dibanjiri oleh ribuan manusia dari pelbagai lapisan termasuk bayi dan anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa yang dibawa oleh kedua ibu bapanya yang rockers suka melepak bersantai atau mendakwanya sebagai reakreasi keluarga..!! Tidak menunaikan solat apatah lagi untuk menyentuh Al Quran. Ada yang sudah lali dengan teguran dan nasihat. Menghampiri judi, dadah dan arak malahan bergelumang dengan dosa perzinaan. Astaghfirullahul azim..!!
Amatlah menyedihkan para pelaku dosa dan maksiat ini yang tidak merasa berdosa, hanyut tenggelam dengan dunia dan nafsu. Menghalalkan perhubungan lelaki dan wanita tanpa ikatan perkahwinan , melahirkan anak-anak haram malahan tak kurang juga yang membuang dan membunuh anak-anak yang tidak berdosa itu. Amalan riba dan rasuah terus mewarnai dunia ekonomi ummat Islam yang lalai. Rakus mencari kekayaan serta melupakan keberkatan.
Peradaban dan tradisi Islam sudah semakin menipis Anak-anak sudah kurang menghormati ibu bapa, bahkan ada yang sudah tenat sehinggga sanggup membunuh ibu bapa atau datuk nenek mereka sendiri. Generasi tua sudah jadi hilang kuasa sementara anak muda hilang punca.
Kalau dulu anak-anak muda bermain gasing , berpancak silat atau bermain kompang namun hari ini mereka lebih suka berlumba motor dan berpeleseran di mana-mana. Sifat malu sudah hilang dari dalam diri mereka. Gaya hidup bebas menjadi kebanggaan.
Fesyen rambut dan cara berpakaian memang sudah lama mengalami perubahan demi perubahan yang menjadi kegilaan para remaja mahu pun dewasa. Berseluar lusuh, berbaju ketat dan pendek , berbaju labuh tetapi nipis tidak segan silu untuk digayakan…
Bagaimanakah wajah masyarakat Islam di masa akan datang?? Yang pastinya akan dipimpin oleh generasi muda hari ini . Mampukah maruah umat Islam terus dipertahankan?? Mampukah umat Islam menjadi pemimpin dunia dengan imej yang di segani ?? Mampukah negara-negara umat Islam dipertahankan dengan kekuatan dan semangat waja dari musuh-musuh yang sentiasa ingin berkuasa?? Persoalan demi persoalan boleh kita ajukan, namun jawapannya masih tidak pasti. Mungkinkah ketidak pastian ini kita hapuskan dari minda umat Islam?
Ya boleh… Jika umat Islam ini sedar dari mimpi lekanya, bangkit mengorak langkah dengan azam dan cita yang tinggi. Sedar siapa mereka.. Mempunyai identiti Islami yang tersendiri, mempunyai maruah. Kita tidak mahu lagi berteori , berseminar dengan menghasilkan lakaran-lakaran di kertas putih. Tetapi kita mesti melaksanakan segala teori-teori yang sudah bertimbun itu, memenfaatkan segala pengalaman-pengalaman yang ada. Tak kira pengalaman individu, bangsa mahu pun tamadun. Berada di gelanggang kehidupan yang sebenar berpijak dibumi nyata.
Kita bukanlah ummat yang fakir… kita sebenarnya telah mewarisi pusaka berharga peninggalan para Nabi dari segi sejarah dan bimbingan disamping Al Quran mukjizat yang kekal. Inilah aset yang kita punyai… yang perlu kita laburkan dengan bijak untuk memperolehi keuntungan hakiki. Selain itu kita punya aset fitrah. Iaitu secara fitrahnya manusia itu mahu kepada kebaikan dan kecenderungan untuk beragama.
Menurut Asy Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya Inilah Islam : “ Aset fitrah ini amat hebat dan menggerunkan. Ia tidak mampu dilemahkan oleh semua timbunan yang menutupnya.” Secara fitrahnya manusia mahu mencari Tuhan dan menuju kepada Tuhan. Kenapa mesti menipu diri sendiri?? Mencari sesuatu yang lain yang akhirnya merosakkan diri sendiri, merosakkan kehidupan seluruhnya.
Inilah yang dikatakan melanggar fitrah, menyimpang dari kebenaran walaupun diketahui ia adalah perlakuan engkar dan mungkar. Jiwa sering menjerit kerana dihidangkan makanan yang tidak serasi dengannya, mendahulukan nafsu dari rohani… tetapi tidak dipedulikan. Berilah peluang kepada diri sendiri untuk berubah.. Mengapa terus terusan memaksiati Allah??
Ingatlah firman Allah :
“ Sungguh beruntung orang yang menyucikan diri [ beriman], dan mengingat nama Tuhannya , lalu dia bersembahyang. Sedangkan kamu [orang-orang kafir] memilih kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. [Surah Al A’laa : 14-17] .
Sempena Maal Hiurah dan tahun baru ini adalah masa yang tepat untuk kita memperbaiki mana yang silap. Menggilap segala aset dan potensi yang ada dalam diri kita. Sesungguhnya Allah Maha mengasihi hamba-hambanya yang bertaubat.
Berhijrahlah daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik.
Masalahnya apakah bekalan kita? Bekalan jalan ini hanya satu sahaja iaitu TAQWA, merasai kebersamaan dengan Allah dan penuh yakin dengan Janji Allah yang pasti benar . Firman Allah maksudnya :
“ Dan merupakan hak kami untuk menolong orang-orang yang beriman .” - [ Ar Rum : 47 ].
Salam Muharram dan ingatan ikhlas daripada Korea Islamic Malaysian Student  sempena Sambutan Maal Hijrah 1434 H & Tahun Baru 2013

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...