Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

04 September 2013

Kami bukan Kongsi Gelap

“Kami bukan kumpulan kongsi gelap. Kami adalah pertubuhan berdaftar sejak 1982 bertujuan membantu masyarakat Melayu dan kepentingan Islam di Malaysia.
“Anggapan Tiga Line sebagai kumpulan samseng serta mengaitkannya dengan kami adalah tidak benar sama sekali,” kata Pengerusi Tetap Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Syed Jaafar Syed Ali, semalam.

Syed Jaafar berkata, sebagai pertubuhan berdaftar, PEKIDA tidak akan melanggar undang-undang dan sudah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan proses pemutihan di dalam pertubuhan berkenaan sejak 2008.
Katanya, PEKIDA sedar ada di antara ahlinya melanggar undang-undang dan pihaknya turut meminta bantuan polis untuk mengesan mereka.

“Pada konvensyen PEKIDA 2008 di Pontian, kami dapati ada pertubuhan songsang yang berselindung di sebalik PEKIDA dan kami bekerjasama dengan PDRM untuk membersihkan PEKIDA daripada sebarang unsur songsang itu.

“Hasilnya, kami dapati terdapat beberapa kumpulan yang berselindung di sebalik PEKIDA seperti Tiga Line, Kumpulan 77 dan Kumpulan 30 yang melakukan pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang.
“Kerjasama dengan PDRM membawa kejayaan menghalang Kumpulan 77 daripada mengambil ahli baru dalam sebuah majlis di sebuah estet di Perak sebelum ini,” katanya pada majlis Sambutan Aidilfitri PEKIDA Johor di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan nama pertubuhan songsang yang berselindung di dalam PEKIDA baru-baru ini adalah selari dengan usaha pemutihan PEKIDA selama ini.
Katanya, kewujudan kumpulan itu adalah liabiliti kepada PEKIDA, manakala tanggapan orang ramai bahawa PEKIDA ialah kumpulan kongsi gelap adalah salah.

Sementara itu, wakil pengerusi PEKIDA Johor Bahru Nor Azam Bahtiar Halid berkata, semua ahli PEKIDA berdaftar dan perlu membayar yuran bulanan.

“Tindakan penjenayah berselindung di sebalik nama PEKIDA amat dikesali kerana ia menyebabkan ahli berdaftar berdepan pelbagai tohmahan.

“Saya mengingatkan mereka berhenti menggunakan nama PEKIDA, sebaliknya gunakanlah nama pertubuhan mereka sendiri,” katanya.

Menurut Nor Azam Bahtiar, beliau mengakui, selama ini ada yang menjadi ahli kerana beranggapan PEKIDA adalah kumpulan kongsi gelap.

“Bagaimanapun, apabila menyertai PEKIDA, mereka kecewa kerana kami lebih menerapkan kepentingan Islam,” katanya.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sila Pilih Artikel Lain Yang Anda Cari Di Bawah: