Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

20 April 2013

PENGGUNA AIR MAKIN KECEWA!!!


18/4/13-KUALA LUMPUR – Selepas gangguan bekalan air yang menjejaskan kira-kira setengah juta warga ibu negara berjaya diselesaikan beberapa hari lalu, kini penduduk Klang dan Shah Alam di Selangor berhadapan situasi serupa.
Kejadian gangguan bekalan air bersih di tiga kawasan tersebut berikutan berlaku penyusutan paras air di Kolam Hicom apabila paip yang menyalurkan air ke kolam tersebut pecah.
Penolong Pengurus Besar,Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, kejadian paip pecah itu secara tidak langsung menjejaskan bekalan air bersih kepada hampir 27,000 pengguna di Klang, Shah Alam dan Petaling.
“Syabas terpaksa mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau pada pukul 7.45 pagi ini bagi kawasan Klang, Shah Alam dan Petaling ekoran penyusutan paras air di Kolam Hicom. Kejadian ini mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan hampir 27,000 pengguna di daerah terbabit.
“Gangguan bekalan air tidak berjadual ini berpunca daripada paip line scour di tee 1,500mm yang membekalkan air ke Kolam Hicom pecah disebabkan terdapat mendapan pada kebuk yang menyokong batang paip berkenaan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Priscilla berkata, Kolam Hicom merupakan kolam utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan Klang, Shah Alam dan Petaling.
Menurutnya, kejadian paip pecah itu mengakibatkan paras air di kolam Hicom mengalami penyusutan yang ketara serta mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual.
Jelas beliau, kerja-kerja pembaikan paip pecah itu sedang giat dijalankan sejak pukul 10 pagi ini bagi membolehkan penyaluran semula bekalan air ke Kolam Hicom berkenaan dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, Syabas menganggarkan tempoh pemulihan bekalan air di semua kawasan terjejas memerlukan masa yang panjang.
Sehubungan itu, katanya, Syabas menyediakan tiga buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia untuk untuk digerakkan bagi membantu membekalkan air ke kawasan terlibat sekiranya diperlukan.
Justeru, katanya, orang ramai yang mahu membuat aduan atau mempunyai sebarang pertanyaan supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas di talian 1-800-88-5252.
“Setakat ini Syabas menerima sebanyak 84 aduan melibatkan ketiadaan bekalan air dan lapan duan tekanan air rendah,” katanya lagi. -MYNEWSHUB

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...