Setiap orang yang mengaku beragama Islam, mahu tidak mahu pasti inginkan Islam
memerintah negara ini khususnya, dan dunia ini amnya. Namun ramai yang masih tidak mengetahui
bagaimanakah caranya Islam dapat naik semula untuk memerintah dunia ini. Masih ramai yang
tertanya-tanya bagaimanakah caranya Islam boleh muncul sebagai kuasa baru dunia itu. Dan masih
terlalu ramai yang tidak nampak apakah ada cara yang sesuai untuk Islam naik. Selain itu, masih ramai
yang keliru dengan kaedah kemunculan semula Islam pada kali ini.
Akibat daripada itu, ramailah yang mengikut-ikut sahaja cara yang sedia ada. Ramailah yang
taklid buta dan yang mentaklidbutakan orang, sedangkan pada masa yang sama mereka sibuk
mengajak orang ramai supaya jangan bertaklid buta, kononnya tidak akan maju sampai bila-bila.
Masing-masing masih tidak jelas apa itu pemerintahan Islam yang sebenar, dan jika dikatakan
kepadanya bahawa Islam naik tidak melalui kaedah politik yang digunakan pada hari ini, tiba-tiba
sahaja mereka akan garu kepala yang tidak gatal. Tidak kurang pula yang terus menolak tanpa berfikir
lagi dan sebagainya.
Setelah itu, timbul pula beberapa persoalan yang amat penting untuk dijawab dengan penuh
saksama dan tepat menurut kehendak ajaran Islam yang tulen. Antara persoalan utama yang selalu
diajukan jika diberitahu kepadanya bahawa Islam tidak naik melalui sistem yang sedia ada ialah,
apakah kaedah itu adalah;
1. Kaedah politik Barat, yang menekankan penggunaan sepenuhnya sistem demokrasi yang
diasaskan oleh Barat, sistem politik ala-Barat atau menggunakan gabungan antara sistem
demokrasi yang disesuaikan dengan Islam ( ½ demokrasi dan ½ lagi Islam )?
2. Kaedah rampasan kuasa seperti yang pernah digunakan di Pakistan, Afghanistan, Libya dan
Iran?
3. Kaedah jihad terhadap yang berlainan agama seperti mengebom gereja-gereja, menyerang
kuil-kuil dan membunuh pengikut-pengikut mereka seperti oleh KMM, Al-Ma’unah, GAM, JEMAAH ISLAMIYYAH. TALIBAN
dan MILF?
4. Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu pengetahuan seperti yang sering dilaung-laungkan
oleh para sarjana dan cendekiawan Islam di hampir setiap puncak menara gading?
5. Kaedah penguasaan ekonomi seperti yang dicanang dan dipraktikkan oleh para usahawan
dan koperat Islam?
6. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam yang menekankan penghayatan secara tebuk-tebuk seperti
yang pernah cuba diterapkan ke dalam sistem pentadbiran dan perbankan kita suatu ketika
dahulu?
7. Atau adakah cara lain lagi, selain daripada yang di atas, yang boleh digunakan untuk
membolehkan Islam naik semula memerintah dunia ini? Jika ada, apakah nama cara itu?
Siapa pengasasnya? Di mana tempatnya? Apakah orang itu sudah ada pada masa kita ini?
Bagaimana fikrahnya? Bagaimana ilmunya? Apa nama partinya jika dia orang politik? Jika dia
bukan orang politik, apakah nama gerakannya? Militankah dia?
Islam tidak akan dan tidak pernah berjaya jika dinaikkan menggunakan kaedah yang lain
daripada kaedah Islam itu sendiri. Diumpamakan kita membasuh kain yang terkena tahi ayam dengan
menggunakan arak. Itulah umpamanya orang yang cuba menegakkan Islam dengan menggunakan
kaedah selain dari kaedah yang ada dalam Islam itu sendiri. Ada yang berkata, kita naik dahulu dengan
cara Barat, dan selepas mendapat kuasa nanti, kita tukarlah sistem Barat itu dengan sistem Islam. Cara
ini juga tidak betul kerana apabila kita menggunakan kaedah yang selain dari Islam, pastilah hasilnya
akan melencong pula dari yang disasarkan.
Kaedah rampasan kuasa tidak akan berjaya kerana bukti-bukti sejarah yang terang jelas
menunjukkan bahawa kaedah ini sentiasa gagal membawa keamanan kepada sesebuah negara itu,
malah rakyat akan bertambah membenci kerajaan yang didirikan secara kekerasan dan rampasan
kuasa. Kaedah jihad seperti yang cuba dilaksanakan oleh beberapa pihak sebenarnya bukanlah bentuk
jihad yang dikehendaki oleh Islam. Ada banyak bentuk jihad yang lain yang lebih sesuai diterapkan
kepada orang ramai, sama ada kepada yang beragama Islam sendiri, mahupun kepada orang yang
bukan Islam. Jihad dengan senjata bukanlah kaedah yang pertama dan utama yang patut kita gunakan.
Lagipun kaedah ini tidak pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mengenai
peristiwa akhir zaman.
Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu seperti yang selalu disebut-sebut di hampir setiap
forum dan seminar sebenarnya bukanlah kaedah yang terbaik untuk membangunkan Islam. Ilmu
yang tidak disertakan tauhid, roh Islam dan amalan hati pasti akan gagal juga. Apatah lagi jika guru
yang mengajar agama Islam itu adalah orang yang tidak tentu akidahnya, orangnya fasik ataupun
orang kafir. Jika benar dengan memperkasakan ilmu-ilmu agama dapat membangunkan ummah,
kenapa sehingga kini universiti masih gagal menunjukkan bahawa merekalah pelopor terhadap
kebangkitan semula Islam di rantau sebelah sini? Setakat buku ini ditulis, tidak pernah lagi ada orang
yang berkata bahawa kebangkitan semula Islam pada zaman ini di Timur ini, bermula di universiti,
dibangkitkan oleh para pensyarahnya. Kaedah penguasaan ekonomi juga menunjukkan hasil yang
hampir sama jika dilihat secara umum, menurut kaca mata orang ramai.
Kaedah penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan perbankan juga tidak
menunjukkan bahawa kaedah ini mampu menjadi peneraju kebangkitan semula Islam pada zaman ini.
Malah sebenarnya kaedah ini lebih banyak menghasilkan orang-orang yang berpura-pura dan bersikap
berketrampilan (serba boleh). Maksudnya, orang itu akan mempermain-mainkan Islam sama ada
secara sedar atau tidak. Misalnya mereka berpakaian biasa yang terdedah sana dan sini pada hari-hari
biasa, manakala pada hari Jumaat, bertudung litup. Kemudian pada hari lain, buka semula seperti
biasa. Atau contoh lain ialah orang itu boleh menjadi imam sembahyang pada satu masa, manakala
pada masa yang lain, dia juga mampu menjadi imam semasa berjudi atau minum arak.
Memang persoalan seperti ini pernah ditimbulkan oleh orang ramai. Pada hari ini, umat
Islam sudah mula frust dan fed up terhadap sistem politik yang ada dan digunakan pada hari ini.
Mereka bukan tidak mahukan Islam itu naik, tetapi jemaah-jemaah yang kononnya mendukung
perjuangan menegakkan sebuah negara Islam masih belum juga menampakkan sebarang persediaan
untuk menyambut tugas yang maha besar itu. Mereka masih lagi sibuk dengan cara dahulu juga iaitu
bertempik dengan penuh semangat sambil mencerca pihak lawan yang kononnya tidak mahukan
Islam, tidak nampak lagi usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka, yang menjurus ke arah itu,
sedangkan canangannya sudah begitu lama diuar-uarkan.
Sebenarnya memang benar bahawa Islam tidak naik dengan cara yang sedia ada pada hari ini,
dan sekali-tidak tidak akan naik dengan cara itu. Islam ada sistemnya sendiri yang amat jauh berbeza
daripada sistem-sistem yang sedia ada, baik pada hari ini mahupun pada masa lalu. Kaedah yang kita
amalkan pada hari ini bukanlah kaedah Islam atau kaedah yang sesuai dengan Islam. Untuk
memudahkan pemahaman tentang masalah ini, berikut diperturunkan beberapa ciri khusus yang perlu
diperhatikan semasa menilai seseorang itu, sama ada layak kita jadikan pemimpin Islam kita atau
tidak. Jika tidak ada, maka tidak layaklah dia memperkatakan negara Islam, apatah lagi mahu
memerintahnya.
1. Mula-mula sekali Allah SWT turunkan pemimpin berkenaan. Ini adalah perlu kerana pada diri
pemimpin berkenaanlah Allah wakilkan pentadbiran-Nya untuk menguruskan sekalian
manusia. Hanya dengan orang yang telah Allah SWT sendiri pilih secara khusus untuk
menjadi wakil-Nya mentadbir manusia, barulah Islam akan turut sama naik, bersama-sama
dengan naiknya pemimpin berkenaan sebagai pemerintah manusia. Hal ini tidaklah perlu
dihairankan sangat, atau dipertikaikan lagi, kerana contohnya sudah amat jelas. Contohnya
Rasulullah SAW dilantik sebagai pemimpin manusia melalui firman-Nya:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu sekaliannya.”
(Al-Aa’raf : 158)
Orang yang menjadi rasul adalah juga pemimpin bagi umatnya, kerana salah satu tugas rasul
itu adalah memimpin umatnya melaksanakan syariat Allah, dan sekali gus menjadi ketua bagi
umat masing-masing. Begitu juga dengan Bani Israel yang Allah datangkan Talut sebagai
pemimpin mereka. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud,
“Dan nabi mereka (Nabi Samuel AS) berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Allah telah mengangkat
untuk kamu semua Talut sebagai raja…”
(Al-Baqarah : 247)
Begitu juga semasa Allah SWT melantik Nabi Musa AS sebagai pemimpin mereka, seperti
firman-Nya yang bermaksud,
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah kepada
kamu semua ketika Dia melantik di kalangan kamu nabi-nabi dan dijadikannya kamu raja-raja.”
(Al-Maidah : 20)
Orang itu dan kepemimpinannya mestilah bertaraf Khalifah. Ini sesuai dengan firman Allah
SWT yang bermaksud,
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan
seorang khalifah di atas muka bumi…”
(Al-Baqarah : 30)
2. Disesuaikan dengan zaman munculnya. Pemimpin seperti ini tidak diturunkan secara semberono
sahaja, malah ditentukan pada setiap zaman, bentuk-bentuk kepemimpinan yang perlu
dilakukannya. Misalnya untuk zaman ini, pemimpin itu mestilah berusaha menghidupkan
kembali sistem pemerintahan Islam sepusat (Centralized Islamic World) yang negara-negara
Islam lain tumpang bernaung di bawahnya dan dia juga berusaha menghidupkan kembali
sistem khalifah. Pemimpin itu perlu berjuang ke arah ini pada zaman ini kerana sistem
khalifah sudah lama dipadamkan dari dunia Islam oleh kuasa-kuasa Barat. Kalau pemimpin
berkenaan hanya pandai berkokok tentang Islam di bawah tempurung sahaja, dan tidak pernah
cuba menghidupkan sistem khalifah seperti dahulu, maknanya dia bukan pemimpin Islam
sejati, malah dia adalah pemimpin yang mencari kepentingan peribadi. Kalau pemimpin itu
tidak pernah berusaha membawa pentadbiran Islamnya keluar dari sempadan negaranya,
maka dia juga bukanlah seorang pemimpin sejati yang ditunjuk oleh Allah untuk kita. Dia
sebenarnya hanyalah seorang pemimpin biasa yang apabila tiba masanya, pasti akan turun
juga dari pemerintahannya (sama ada secara sukarela atau terpaksa) untuk memberi laluan
kepada pemimpin sejati itu naik memerintah.
3. Diberikan sifat-sifat khusus yang jauh berbeza daripada pemimpin lain untuk memudahkan
orang ramai mengenalinya. Pada satu-satu masa, yakni pada setiap seratus tahun, hanya dia
seorang sahaja yang diberikan sifat-sifat khusus begini, yang sebenarnya bukanlah suatu
yang asing dalam Islam. Hanya dikeranakan umat Islam sudah terlalu lama tidak
mengamalkannya atau melihat Islam secara realiti, maka apa yang dibawanya itu dilihat
sebagai sesuatu yang baru. Itulah salah satu sifat utama seorang pemimpin yang ditunjuk oleh
Allah, mampu membawa perubahan yang menyeluruh kepada seluruh umat, tanpa mengira
sempadan negara dan bangsa. Apa yang dibawanya itu amat asing bagi, bukan sahaja orangorang
kafir malah umat Islam sendiri, termasuk kalangan ulamanya. Ini sesuai dengan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Islam itu permulaannya adalah asing, dan nanti akan kembali menjadi asing, seperti
permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.”
Muslim
4. Dikhususkan ilmu, penghayatan dan kefahaman kepadanya yang bersesuaian dengan zaman itu. Ini
amatlah penting kerana dengan pemberian sifat-sifat khusus seperti inilah mereka diberi
kemampuan untuk membawa seluruh manusia kepada Allah, sedangkan sebelumnya mereka
begitu hanyut dengan pelbagai bentuk keduniaan yang melalaikan. Dengan ilmu mereka yang
sentiasa hidup itulah, umat Islam akan tertarik hatinya untuk kembali mengamalkan ajaran
Islam, bertaubat dari perangai lamanya dan bertukar menjadi orang yang saleh. Ini tidak perlu
dihairankan kerana Rasulullah SAW pernah berbuat demikian terhadap para sahabat baginda
seperti yang banyak diriwayatkan, baik di dalam buku-buku sejarah Islam mahupun di dalam
buku-buku sejarah umat Islam. Hal ini tidak akan Allah berikan kepada mana-mana
pemimpin pun pada sesuatu zaman itu. Jika ciri-ciri ini ada pada seseorang, maka orang
itulah pemimpin sejati kita, tidak akan ada dua atau tiganya lagi. Jika hendak terjumpa pun
orang yang mempunyai ciri-ciri yang sama, kenalah tunggu hingga seratus tahun lagi. Itupun
jika umur kita masih panjang atau dunia ini masih belum dikiamatkan lagi.
5. Pemimpin umat Islam adalah orang yang paling bertakwa di kalangan manusia. Mereka bukan
sahaja orang Islam, malah dia beriman kepada Allah. Dia membesarkan sembahyang bagi
dirinya dan memerintahkan pengikutnya membesarkan sama sembahyang. Allah SWT sangat
dibesarkan, ditakuti dan dicintai melebihi dari segala-galanya. Segala ungkapan cinta dan
asyik, tertuju khusus kepada Allah. Apabila pemimpinnya sendiri mencintai Allah, pastilah
rakyatnya akan turut sama mencintai Allah. Sunnah Rasul SAW sangat dibesarkan dalam
setiap aspek kehidupan sehingga perkara yang kecil-kecil pun dibesarkan sama, kerana
kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW terzahir dalam setiap tindak tanduk mereka.
Semua ini sudah diterangkan oleh Allah SWT sendiri seperti firman-Nya yang mafhumnya,
“Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang sentiasa
mendirikan sembahyang, yang mengeluarkan zakat dan adalah mereka itu orang-orang yang rukuk.”
(Al-Maidah : 55)
6. Ditentukan tempat munculnya. Rasulullah SAW sudah menjelaskan tempat munculnya
pemimpin akhir zaman. Untuk akhir zaman ini, tempat munculnya juga sudah dijelaskan oleh
Nabi SAW dengan menyatakan, yang maksudnya,
“Seorang lelaki dari anak cucu Al-Hasan akan datang dari arah Timur. Jika dia menghadap ke
arah gunung, akan dipukulnya sampai rata, sehingga mereka berjaya melaluinya.”
Orang yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah IMAM MAHDI a.s., datang dari
keturunan Sayidina Hasan bin Ali RA iaitu keturunan Ahlulbait dan tempat munculnya
adalah di Timur. Timur yang dimaksudkan itu adalah di Asia Tenggara ini, iaitu kawasan
tempat tinggal kita sekarang.
7. Ditentukan pengikut-pengikutnya. Pada zaman Rasulullah SAW, ditentukan bahawa pengikutpengikut
baginda disebut sebagai Sahabat, ditentukan pula bahawa Allah SWT telah meredai
mereka semuanya dengan firman-Nya yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah telah redha kepada orang-orang mukmin (para sahabat) semasa mereka berbaiat
kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka, lalu Allah
turunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang
hampir.” (Al-Fath : 18)
Manakala untuk umat akhir zaman iaitu zaman kita ini, para pengikutnya juga adalah khusus
seperti yang pernah disebutkan oleh Sayidina Ali KMW,
“Apabila dia yang dari ahli keluarga Muhammad SAW keluar, Allah akan mempertemukan
para pengikutnya dari Timur dan Barat dengannya, seperti bertemunya awan-awan pada musim
luruh. Mereka adalah ar-Rufaqak, mereka datang daripada penduduk Kufah, dan Wali Abdal
yang datang daripada penduduk Syam.”
Selain mereka ini, ada sekumpulan lagi pengikut khususnya yang bilangannya lebih besar,
yang merangkumi para Rufaqak itu tadi dan disebut sebagai Ikhwan. Ini dijelaskan oleh
sabda Nabi SAW yang maksudnya,
“Aku tersangat rindu kepada para Ikhwanku.” Maka bertanyalah para sahabat, “Ya
Rasulullah SAW, bukankah kami ini Ikhwanmu?” Rasulullah SAW menjawab, “Bukan,
malah kamu adalah sahabatku. Sedangkan Ikhwanku adalah orang yang beriman denganku
walaupun mereka tidak pernah melihatku.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA dan Anas RA
dengan matan yang sedikit berlainan.
Ikhwan inilah golongan yang memperkembangkan Islam pada akhir zaman, menggantikan
para sahabat RA yang telah memperkembangkan Islam pada awal Islam dahulu. Mereka ini
juga telah Allah redhai kepada mereka seperti yang disebutkan oleh sebuah lagi hadis, riwayat
Imam Muslim.
Dari Nawas bin Sam’an RA, katanya, Suatu pagi Rasulullah SAW menyebutkan hal Dajjal.
“… (Hadisnya panjang… dipendekkan) … Isa AS mengejar Dajjal itu sampai ditemuinya di
Bab Lud lalu dibunuhnya. Kemudian, suatu kaum (maksudnya para Ikhwan) yang dipelihara
Allah daripada tipuan Dajjal, datang menemui Nabi Isa bin Maryam AS. Lalu dibarutnya
muka mereka dan diceritakannya kepada mereka tingkat kediaman mereka di dalam syurga.
Dalam keadaan demikian, ketika itu Allah mewahyukan kepada Isa AS: …”
Muslim
8. Diuji dengan cabaran-cabaran khusus untuk memantapkannya. Cabaran dan dugaan ini cukup berat,
sekira-kira tidak tertanggung oleh mana-mana pemimpin lain pun di dunia ini pada masa itu.
Ini adalah suatu yang amat perlu supaya beliau akan lebih bersih hatinya, lebih tahan
menerima ujian, cukup sabar menghadapi cubaan, lebih bersedia menghadapi tugas dan
cabaran lebih besar pada masa-masa hadapan, memantapkan hatinya, menghapuskan dosadosa
dan kesalahannya, dosa-dosa ahli dan jemaahnya dan lebih kuat imannya kepada Allah.
Ini sesuai dengan sebuah hadis yang terjemahannya berbunyi kira-kira begini,
“…Kami Ahlulbait, telah Allah pilih akhirat kami lebih dari dunia kami. Kaum kerabatku akan
menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehingga datanglah Panji-panji Hitam dari Timur.
Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh
kejayaan. Sesiapa di antara kamu atau keturunan kamu yang hidup pada masa itu, datangilah Imam
yang dari ahli keluargaku walau terpaksa merangkak di atas salji. Sungguh, mereka adalah pembawa
Panji-panji yang mendapat hidayah…” (At-Tarmizi, Al-Hakim, Abu
Daud)
9. Diuji dan ditapis pengikut-pengikutnya untuk menguji kekuatan iman dan keikhlasan hatinya. Hal ini
amat perlu kerana dengan melalui ujian dan tapisan demi tapisan itulah baru diketahui siapa
yang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah, dan sesiapa yang banyak dosanya pasti
tertinggal. Ingat, walau berapa ramai pun yang tertinggal, IMAM MAHDI a.s. tetap
bergerak ke hadapan dan langkahannya tetap laju mara menuju ke matlamat yang telah
ditetapkan oleh Jadual Allah. Sesiapa yang mahu mengikutnya perlulah bersabar dan tahan
menerima ujian, biar seberat mana pun ujian yang terpaksa diterima itu. Jika Al-MAHDI terpaksa melalui tujuh tahap ujian berat seperti di atas, maka pengikut-pengikutnya
terpaksa juga menerima ketujuh-tujuh ujian itu, tidak dapat tidak. Cuma bezanya, setinggi
mana pun ujian yang diterima oleh si pengikut, tetap tidak lebih berat daripada ujian yang
ditanggung oleh IMAM MAHDI a.s. itu sendiri. Beliau terpaksa menanggung segala ujian
itu yang jauh lebih berat dan sukar daripada apa yang diterima oleh pengikutnya.
10. Dinaikkan secara yang tidak zalim. Bolehkah Islam ditegakkan setelah kerajaan yang sedia ada
ditumbangkan secara zalim? Ertinya, kita menegakkan keadilan dengan cara yang zalim?
Talut dinaikkan sebagai raja dengan cara yang tidak zalim. Dia tidak merampas kuasa dan
tidak pula dengan melobi rakyat supaya menyokongnya. Kemunculannya adalah hasil doa
dan rintihan rakyat dari kalangan Bani Israel kepada Allah. Nabi Musa AS juga menjadi
pemerintah bagi Bani Israel secara semula jadi, tidak ada pengaruh-mempengaruhi dan tidak
pernah pula menabur janji-janji manis kepada rakyat. Nabi Muhammad SAW juga tidak
pernah menjadi pemimpin dengan menjatuhkan pemimpin Quraisy di Makkah, tidak pernah
juga mempengaruhi penduduk Makkah supaya menyokong baginda, tidak pernah menabur
janji-janji manis atau janji-janji politik, tidak juga melalui undi dan sokongan rakyat. Malah
jauh sekali daripada mencerca peribadi-peribadi pemimpin Quraisy di kota Makkah itu
biarpun mereka itu amat nyata kafirnya, malah sudah dimaktubkan kekafiran mereka di
dalam Al-Quran. Setiap pemimpin yang zalim dijatuhkan oleh Allah kerana mereka
menentang rasul-rasul dan wali-wali Allah dan dalam konteks akhir zaman, pemerintah itu
dijatuhkan kerana mereka menentang pemimpin sejati akhir zaman. Mereka juga dijatuhkan
oleh Allah kerana dosa-dosa mereka sendiri yang sudah terlalu banyak dan kerana terlalu
zalim terhadap Orang-orang Allah, bukannya oleh kuasa rakyat atau melalui sistem
demokrasi.
Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa pemerintah (dan rakyat) yang zalim itu akan Dia
binasakan kerana kezaliman mereka pada waktu yang telah Dia tetapkan sendiri seperti dalam
firman-Nya yang bermaksud kira-kira begini,
“Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan apabila mereka berbuat zalim, dan Kami jadikan bagi
mereka itu kebinasaannya pada waktu yang telah dijanjikan.”
(Al-Kahfi : 59)
Pemimpin akhir zaman juga tidak pernah melobi rakyat supaya menyokongnya. Sokongan
rakyat kepadanya datang dengan sendiri, melalui hati yang sangat rapat dengan Allah.
Sokongan rakyat adalah dengan melaksanakan setiap perintahnya dengan sepenuh taat, tidak
berbuat jahat walaupun berada jauh daripada pemimpinnya itu atau tanpa pengetahuan
pemimpinnya. Malah setelah pemimpinnya mati sekalipun, mereka tetap tidak akan berbuat
jahat kerana mereka taatkan pemerintah mereka tidak mengira sama ada pemimpin mereka
itu ada di hadapan atau jauh ataupun setelah matinya. Itulah pemimpin sejati, pemimpin yang
sentiasa berada di hati, bukan di jari.
11. Diangkat sebagai pemimpin pada masa yang bersesuaian. Lazimnya pada awal setiap kurun Hijrah.
Ulama yang zahir bukan pada masanya yang tepat, tidak sekali-kali boleh dikatakan sebagai
mujaddid walaupun ilmunya sangat luas, jasanya sangat besar terhadap umat Islam,
pemahamannya dikagumi, tulisan-tulisannya sangat banyak dan matinya pun sebagai seorang
syahid. Seorang mujaddid mestilah zahir pada awal kurun Hijrah, bukan di tengah-tengah
kurun. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW yang maksudnya,
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun orang yang akan
memperbaharui urusan agamanya.” (Abu Daud,
At-Tabari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Ertinya, apabila tiba sahaja pada setiap awal kurun Hijrah, maka umat Islam mestilah
menumpukan perhatian mereka untuk mencari siapakah dia pemimpin yang Allah utuskan
untuk kurun berkenaan. Hal ini telah Allah wajibkan kepada kita, semua umat Islam, untuk
mencarinya, mengisytiharkan nikmat ini ke seluruh dunia dan kemudian bersama-sama
melantiknya sebagai pemimpin seluruh umat Islam, tanpa mengira sempadan mazhab,
pendidikan, geografi atau sebagainya lagi. Hanya dengan inilah sahaja caranya Islam akan
menjadi tinggi dan nasib umat Islam akan terbela sepenuhnya daripada segala macam
kesukaran dan penderitaan yang sedang kita tanggung pada hari ini. Nasib kita di akhirat sana
pun akan lebih terbela dengan keberadaan orang pilihan Allah ini di tengah-tengah kita.
12. Diberi keupayaan menghapuskan khurafat-khurafat dan bidaah yang sedang berleluasa. Ini
sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud,
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah supaya agama (Islam yang satu) itu hanyalah
untuk Allah semata-mata…”
(Al-Anfal : 39)
13. Diberi keupayaan menghapuskan sistem-sistem yang tidak Islamik dan menggantikannya dengan
kaedah Islam tulen, seperti firman-Nya yang bermaksud,
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk dan agama yang benar untuk
dimenangkan oleh-Nya atas segala agama yang lain keseluruhannya, walaupun orang-orang musyrik itu
tidak menyukai.” (At-Taubah : 33)
14. Diberi keupayaan membawa keadilan yang merata, yang sesuai dengan tuntutan syarak. Adil yang
dimaksudkan adalah adil menurut Al-Quran, bukannya adil menurut kaca mata Barat.
Keadilan yang hakiki tidak akan mampu ditegakkan melainkan oleh seorang pemimpin yang
ditunjuk dan didatangkan khusus oleh Allah untuk manusia. Hal ini barang kali agak jelas dan
mudah, menurut kefahaman masing-masing. Oleh itu, tidak perlulah diperpanjangkan lagi di
sini.
15. Pemimpin sejati adalah orang yang ditaat zahir dan batin. Pada hari ini, ramai pemimpin yang sudah
tidak dihormati lagi oleh rakyatnya. Malah orang bawahannya juga sudah tidak tahu lagi
menghormati pemimpin mereka. Hal ini sebenarnya adalah disebabkan pengaruh sistem
Yahudi yang menyusup masuk ke dalam budaya dan hati kita secara yang amat halus
sehingga tidak kita sedari. Memang orang-orang Yahudi tidak pernah mahu menghormati
sesiapa pun. Usahkan orang yang bertaraf pemimpin atau raja di kalangan mereka, malah
orang yang bertaraf rasul pun tidak pernah mereka hormati. Lihatlah bagaimana Al-Quran
merakamkan cara mereka memanggil nabi mereka. Disebutkan di dalam beberapa banyak
ayat Al-Quran, mereka memanggil Nabi Musa AS itu dengan sebutan, “Wahai Musa!…”
sahaja. Tidak ada disebutkan mereka memanggilnya dengan Alaihissalam atau Rasulullah.
Begitulah biadabnya mereka terhadap rasul-rasul mereka sendiri.
Pemimpin yang sejati ditaati perintahnya zahir dan batin. Beliau mestilah berusaha membina
peribadinya dahulu dengan ajaran-ajaran Islam, kemudian membina keluarganya dengan
persekitaran Islam, kemudian barulah beliau mendirikan sebuah jemaah untuk memulakan
kepemimpinannya ke tahap yang lebih luas. Ahli-ahli jemaah ini sentiasa taat kepada beliau
kerana meyakini kepemimpinan beliau. Itulah bentuk kepemimpinan yang dikehendaki
seperti dalam sabda Nabi SAW yang maksudnya,
“Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan
tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan.”
Begitu juga sabda Nabi SAW yang menyebutkan, maksudnya,
“Sesiapa yang mentaatiku maka bererti dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang
menderhakaiku maka bererti dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati Amirku maka
bererti dia mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai Amirku maka bererti dia telah
menderhakaiku.”
Untuk mendapatkan pengesahan seseorang itu sebagai pemimpin umat, perlu berlaku
baiat antara si pemimpin dengan si rakyat yang dipimpin. Orang yang tidak berbaiat
kepada pemimpin, mendapat dosa yang besar dan dianggap penderhaka, sehinggalah
dia membaiat pemimpin berkenaan. Ini telah digambarkan oleh baginda SAW dalam
hadisnya yang bermaksud,
“Sesiapa yang mati sedangkan pada lehernya tiada tanggungan baiat, maka matinya adalah mati
dalam keadaan jahiliyah.”
(Muslim)
Selain itu, sesebuah jemaah atau parti yang memperjuangkan kebenaran seharusnya mampu
melakukan yang berikut, sebagai tanda merekalah golongan yang dimaksudkan oleh hadis-hadis dan
patut disokong sepenuhnya.
1. Ahli yang memasukinya mampu melakukan perubahan hati. Perubahan ini berbentuk
membersihkan hati mereka daripada dosa dan titik-titik hitam. Jemaah menggalakkan mereka
banyak-banyak bertaubat.
2. Ahli-ahlinya mampu menyelaraskan pemahaman terhadap hampir seluruh aspek perjuangan.
Hal ini hanya mampu dilakukan oleh sebuah jemaah sahaja dalam setiap seratus tahun atau
pemimpinnya itu seorang yang bertaraf mujaddid atau sekurang-kurangnya bertaraf imam
mujtahid mutlak.
3. Ahli-ahlinya mampu melakukan perubahan fizikal. Pakaian mereka semakin kemas menurut
syarak dan sentiasa dipatuhi sepanjang masa, walau di mana sahaja mereka berada, bukan
sahaja semasa di hadapan para pengikut mereka.
4. Ahli-ahlinya mampu mempertingkatkan iman dari semasa ke semasa. Jika ini dapat
dilakukan, itulah juga tandanya jemaah itu adalah jemaah kebenaran.
5. Ahli-ahlinya mampu memperkemaskan ibadat-ibadat wajib dan istiqamah dengan ibadat yang
sunat-sunat. Salah satu tanda orang yang dikasihi oleh Allah SWT ialah mereka sentiasa
memperkemaskah ibadat yang wajib dan istiqamah dengan ibadat yang sunat-sunat. Hanya
jemaah kebenaran sahaja yang mampu menitikberatkan ibadat sunat ini di kalangan ahlinya.
Jika selain jemaah kebenaran, pengikut imam mujtahid mutlak juga boleh berbuat demikian.
Yang selain dari itu, semuanya pasti gagal.
6. Ahli-ahlinya mampu memimpin zaman kerana pemimpin mereka bertaraf Sahibul Zaman,
bukannya dipimpin oleh zaman. Kepemimpinan mereka mendahului zamannya dan tidak
terkejar oleh jemaah lain, sekurang-kurangnya dalam tempoh masa yang terdekat. Kaedah
perjuangan mereka tepat menurut keperluan zaman.
7. Ahli-ahlinya tidak menggunakan kaedah semasa, baik dalam bidang politik, ekonomi,
pendidikan, keilmuan dan sebagainya. Kaedah mereka adalah kaedah lama, kaedah yang
sudah tidak diketahui lagi oleh kalangan ilmuwan, walau yang paling cerdik sekalipun.
8. Mengajak ahli-ahlinya menghisab dosa-dosa dan kesalahan sendiri, tidak memperkatakan
dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan orang lain. Lidah mereka bersih daripada menipu,
mengata-ngata orang, memfitnah, membuka aib/kesalahan orang lain atau memperkatakan
dosa orang lain.
9. Ahli-ahlinya menganggap tugas kepemimpinan adalah suatu tanggungjawab yang amat berat
untuk dipikul dan akan dihisab dengan teliti di akhirat kelak. Kerana itu, setiap tugas yang
diamanahkan kepada mereka akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab walaupun tiada
yang mengawasi pekerjaannya.
10. Ahli-ahlinya tidak meminta sebarang jawatan untuk memimpin dan tidak berhasrat untuk
meminta jawatan. Hal ini amatlah sukar kerana lazimnya setiap parti politik akan meminta
orang ramai menyokongnya untuk mendapatkan jawatan dalam sesebuah parti dan
seterusnya dalam pentadbiran negara.
11. Ahli-ahlinya diajak sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap masa dan ketika. Hanya
dengan hati yang sentiasa mengingati Allah sahajalah pertolongan-Nya akan tiba dan
perjuangan mereka sentiasa dibantu.
12. Ahli-ahlinya diajak sangat-sangat mencintai Allah SWT dan merindui Rasulullah SAW
sepenuh hati.
13. Jemaahnya mampu membangunkan menurut sunnah sehingga mereka mampu berdikari
tanpa bantuan dan sokongan mana-mana pihak.
14. Ahli-ahlinya tidak terjejas oleh sebarang perubahan duniawi yang merosak dan melalaikan.
Jemaah-jemaah lain tidak akan mampu menjaga ahli-ahlinya daripada terikut-ikut dengan
pengaruh semasa yang merosakkan.
15. Ahli-ahlinya tidak dibiarkan begitu sahaja kerana setiap ahlinya adalah ahli-ahli yang
terpimpin dan sentiasa dipimpin. Itulah sikap pemimpin yang benar-benar
bertanggungjawab. Kebajikan mereka sentiasa diisi.
16. Keluarga ahli mereka juga diperhatikan dan turut diasuh dengan keperluan yang sesuai
dengan kehendak jemaah. Keluarga ahli mendapat kefahaman yang sama dengan kefahaman
pemimpin.
17. Setiap ahli yakin dengan perjuangan mereka dan yakin mereka akan mendapat bantuan
daripada Allah SWT. Kerana itu mereka sentiasa memperbaiki diri dan mengikis dosa-dosa
dengan harapan doa mereka tidak lagi terhijab akibat dosa-dosa berkenaan.
18. Mereka ditakuti oleh kawan dan lawan. Musuh amat gerun terhadap mereka. Yang sealiran
dengan mereka amat sayang dengan mereka ini dan sentiasa bergantung harap kepada
mereka.
19. Mampu membawa perubahan yang besar kepada corak dan aliran politik semasa dengan
hanya sepatah kata, atau dengan satu ungkapan yang pendek sahaja. Betapalah besar
perubahan yang akan mampu dibawanya jika mereka dibenarkan bercakap dengan panjang
lebar.
Jika ciri-ciri di atas ada pada sesebuah jemaah, jangan tangguh-tangguh lagi. Itulah
dia jemaah yang memperjuangkan kebenaran seperti yang telah dijanjikan akan muncul
pada akhir zaman. Beramai-ramailah kita mengikutinya dengan hati yang ikhlas dan keyakinan yang
penuh. Semoga kita akan mendapat salah satu tempat sebagai salah seorang yang berbahagia di dunia
ini dan lebih-lebih lagi bahagianya di akhirat kelak.
0 comments:
Post a Comment