Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

10 May 2012

Agama Islam semakin di hina di Malaysia


Pengerusi Peguam Pembela Islam, Zainur Zakaria, membidas usaha pihak-pihak tertentu di Malaysia untuk menggugat kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Usaha terbaru ini yang dipelopori beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan menggunakan saluran perundangan untuk mencapai hasrat mereka. Zainur berkata demikian ketika memberi penerangan mengenai isu permohonan murtad oleh Azlina Jailani (Lina Joy) pada Majlis Perbincangan Khas Pertubuhan-Pertubuhan Islam Mengenai Isu Lina Joy dan Umat Islam di Gombak hari ini.

Zainur turut membidas sikap kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai pejuang hak asasi manusia yang seolah-olah meletakkan prinsip hak asasi manusia melebihi tuntutan dan ajaran Islam.

Dari segi perundangan, kes Azlina Jailani bakal membawa implikasi besar kepada kedudukan agama Islam di negara ini kerana ianya melibatkan pentafsiran Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan beragama. Ini adalah kali pertama Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan yang melibatkan pentafsiran perlembagaan mengenai hak kebebasan beragama di Malaysia.

Barisan peguam Azlina berhujjah bahawa berasaskan jaminan kebebasan beragama di bawah Perkara 11(1), seorang individu Muslim boleh secara bebas mengisytiharkan diri keluar dari Islam dan menganut agama lain tanpa perlu terlebih dahulu memohon kepada Mahkamah Shari’ah.

Zainur menyangkal hujjah tersebut berasaskan duluan yang mengikat (binding precedent) di mana kes-kes yang melibatkan agama Islam perlu didengar di Mahkamah Shari’ah. Justeru, forum yang terbaik untuk menentukan status agama seorang individu Muslim ialah Mahkamah Shari’ah yang mempunyai bidang kuasa ekslusif di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan untuk mengadili kes-kes berkaitan agama Islam. Selain dari itu, hakim-hakim Mahkamah Shari’ah yang terlatih dalam undang-undang Islam adalah pihak yang paling layak untuk memutuskan hal-hal agama.

Dalam perkembangan yang lain, Zainur turut menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Mior Atiqurrahman baru-baru ini. Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan perayu-perayu untuk memakai serban di sekolah atas alasan pemakaian serban bukanlah satu tuntutan dalam agama Islam. Implikasi besar kes ini menurut Zainur ialah hakim-hakim yang tidak terlatih dalam perundangan Islam, termasuk seorang hakim yang bukan beragama Islam, telah membuat keputusan mengenai hukum Islam

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...