Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

22 May 2012

ISU-ISU GERAKKAN "KRISTIANISASI DI MALAYSIA


Koleksi berita Kristianisasi di Malaysia 



Sultan amat tersinggung

SHAH ALAM  – Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu mendapati berlaku cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam

Sehubungan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri ini.
Berikutan adalah kenyataan penuh Sultan Sharafuddin Idris Shah:-
Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis ‘Thanksgiving Dinner’ yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.
Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.
Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.
Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.
Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.
Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.
Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.
Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.
Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan.
Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.
Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam.
Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.
Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.
Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.
Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.
Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.
Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.

Penuntut UiTM diarah jalani pemulihan akidah


MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
KOTA BHARU: Mahkamah Rayuan Syarie Kelantan mengarahkan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, yang pernah membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian, diberi bimbingan khas oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Daud Muhammad yang dibantu dua ahli panel, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim dan Tan Sri Ghazali Abd Rahman selepas menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Hashim Deraman supaya pelajar itu diletakkan di Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.Hashim memohon Mahkamah Rayuan membuat semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu terhadap Mohd Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19, pelajar Diploma Seni Kulinari UiTM Dungun, supaya diletak di bawah pengawasan Unit Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).Hashim berhujah, Unit Dakwah JAHEAIK hanya sebuah jabatan yang tidak mempunyai kelengkapan khas untuk memberi bimbingan secara khusus kepada Mohd Fariz Ilham dalam usaha memulihkan akidahnya.
Berikutan permohonan Hashim itu, Daud menyoal pelajar berkenaan sama ada sepanjang bersama pegawai JAHEAIK, dia mengikuti kelas bimbingan akidah dan Mohd Fariz Ilham memaklumkan, dia sempat menyertai beberapa siri ceramah.
“Saya mengikuti siri ceramah anjuran JAHEAIK dan saya bukan seorang yang mudah dipengaruhi, selain mempunyai cara sendiri untuk berubah,” katanya ketika disoal Daud sama ada dia menghadapi masalah atau kesukaran menerima bimbingan dalam usaha memulihkan akidahnya akibat membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian sebelum itu.
Mohd Fariz Ilham berkata, dia menerima pembelajaran agama Islam daripada kedua-dua ibu bapanya sejak kecil dan mengaku mempunyai kawan bukan beragama Islam ketika menuntut di UiTM Dungun.
“Saya masih menunggu jawapan untuk bekerja sebagai penjawat awam di Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sebagai penceramah penduduk Orang Asli. Jika permohonan ini diterima, ia mungkin dapat membantu saya mengubah orang lain dan pada masa sama, saya juga boleh mengubah diri sendiri,” katanya sambil mengaku turut sembahyang lima waktu dan berpuasa.
Berikutan pengakuan Mohd Fariz Ilham itu, Daud dan dua ahli panel sebulat suara memutuskan supaya penjagaan dan bimbingan khas bagi memulihkan akidah pelajar itu diserahkan kepada MAIK.
“Mahkamah Rayuan Syarie membuat keputusan supaya kamu diletakkan di bawah bimbingan MAIK dan tidak perlu dipindahkan ke Pusat Pemulihan Akidah Selangor,” katanya.
“Keputusan ini juga boleh memberi keselesaan kepada dirinya kerana dia juga tidak keluar dari negeri ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar itu yang sebelum ini mengaku menukar agama kepada Kristian, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam.
Berikutan pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan Mohamad Fariz Ilham, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang jemaah di tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada imam masjid itu selama enam bulan, berkuat kuasa 4 Mei lalu.

Murtad: Pelajar diletakkan di pusat pemulihan akidah

KOTA BHARU 21 Sept. – Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini membatalkan perintah terhadap seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, Terengganu untuk ditempatkan di Unit Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIK) bagi memulihkan akidahnya selepas mengaku murtad.
Mohamad Fariz Ilham Mohd. Zulkifli, 19, yang berasal dari Pengkalan Chepa itu sebelum ini ditempatkan di bawah pengawasan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk mendapatkan bimbingan sewajarnya.
Panel rayuan itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie, Kelantan, Datuk Daud Muhammad yang bersidang dengan dua panel lagi iaitu, Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd. Rahman; dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Dalam keputusan tersebut, panel rayuan sebulat suara bersetuju dan berpuas hati dengan rayuan yang dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Hashim Deraman bahawa tempat yang dipilih sebelum ini tidak sesuai atau tidak selesa untuk memulihkan akidah Mohamad Fariz Ilham yang dinamakan sebagai responden.
Ini kerana mahkamah mendapati, responden lebih banyak menyertai aktiviti ceramah yang dianjurkan oleh JHEIK sedangkan ia memerlukan lebih bimbingan, perlindungan serta makan dan minum.
Pihak pendakwa juga mengesyorkan agar responden diletakkan di pusat pemulihan akidah Ulu Yam, Selangor dengan makan dan minumnya ditanggung oleh JHEIK atau mana-mana pusat pemulihan yang sesuai namun cadangan itu ditolak oleh mahkamah.
Dalam prosiding itu, Mohamad Fariz Ilham juga ditanya sama ada akidahnya telah pulih atau sebaliknya.
Remaja itu dengan nada perlahan menjawab: “Pada bulan Ramadan baru-baru ini saya berpuasa atas kerelaan sendiri dan tidak membantah. Saya rasa ada perubahan pada diri sendiri, tetapi kena ambil masa.”
Selepas mendengar keputusan itu, responden memohon mahkamah melepaskannya daripada pengawasan MAIK jika permohonannya sebagai penjawat awam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bahagian pembimbing di Jabatan Orang Asli, diterima.
“Saya kurang gemar mendengar cakap-cakap orang (teguran) kerana lebih suka dengan cara sendiri. Dengan adanya pekerjaan sebagai pembimbing orang Asli, saya berharap mampu membantu saya membimbing diri sendiri ke arah yang lebih baik,’’ katanya.
Bagaimanapun hakim berkata, ia bergantung kepada keputusan MAIK.
Pada 24 April lalu, Mohamad Fariz dirujuk oleh keluarganya ke JHEIK selepas mengaku keluar daripada Islam dan memeluk agama Kristian.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan perintah pada 2 Mei lalu supaya responden diletakkan di bawah pengawasan Unit Dakwah di JHEIK.
Permohonan itu menyebut Mohamad Fariz, yang menggunakan nama samaran Tyrone, mula berjinak-jinak dan menghadiri upacara gereja sejak 3 Disember 2010 serta mengaku berhasrat menukar agama di luar negara. – Utusan

GEREJA BARU DI JOHOR UNTUK MURTADKAN ORANG ISLAM…!!!

Ia mengenai satu kegiatan gereja radikal dari Singapura yang mula menjalankan dakwahnya di tanah Semenanjung, dikepilkan juga satu surat bercop URGENT (Segera) untuk perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Tajuk surat dalam bahasa Inggeris itu berbunyi: Gereja baru di JB untuk memurtadkan orang Islam. Gereja itu menjalankan kegiatan agama dan mesyuarat penyebaran dakwahnya (evangelistic meeting) di sebuah hotel di Johor Bahru setiap pagi Ahad.
Gerakan ini ialah lanjutan daripada sebuah gereja radikal di Singapura, Victory Family Centre (VFC) (juga dikenali sebelumnya sebagai Calvary Charismatic Centre (CCC) pada 1990. Pengasas VFC Singapura ialah Rev. Dr. Rick Seaward (rakyat Singapura berbangsa Amerika) ialah seorang paderi yang radikal dan agresif berdakwah ke atas orang Islam.
Paderi kepada gerakan di JB itu ialah Paderi Jeremy Seaward, anak kepada pengasas VFC Singapura itu. Surat itu mendakwa, misi mereka ialah menubuhkan pusat itu di JB dan visinya untuk melebarkan kerja-kerja dakwah, khususnya kepada orang Islam di seluruh Malaysia.
Gereja VFC itu menukar namanya daripada CCC pada 1990-an setelah kerajaan Singapura menumpaskan kegiatan dakwah mereka atau evangelikal secara radikal terhadap orang Islam, yang dikhuatiri akan mengganggu keharmonian beragama di negara pulau itu.
Kerajaan Singapura kemudian mengeluarkan satu Kertas Putih (White Paper) yang menyebut Rev. Rick Seaward sebagai punca mengapa Singapura perlu meluluskan satu undang-undang baru yang berbunyi: ‘‘Akta Memelihara Keharmonian Beragama’’ (The Maintenance of Religious Harmony Act).

Majlis Agama Islam Johor kenal pasti golongan murtad

JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan menempatkan mereka yang mengalami gangguan akidah di Pusat Bimbingan Mutiara Kasih (PBMK) bagi membolehkan golongan itu dipulihkan semula dari segi kerohanian.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Othman berkata, PBMK yang terletak bersebelahan Masjid Taman Perling, dekat sini sememangnya dibina khas untuk mengatasi masalah murtad yang menunjukkan perkembangan membimbangkan.
“Secara umumnya sasaran kita adalah para remaja yang menunjukkan tanda-tanda akan murtad. Golongan ini perlu dipulihkan akidah mereka bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk.
“Bagi menggerakkan PBMK yang dibina dengan kos RM10 juta itu, MAIJ mendapat peruntukan yang banyak daripada Baitulmal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau mengulas kegiatan gereja radikal dari Singapura yang mula memurtadkan orang Islam di bandar raya ini dan seterusnya di seluruh negara, seperti didedahkan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan menerusi kolum Cuit semalam.
Zaini menerusi kolum itu menyatakan menerima sepucuk surat yang dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertajuk ‘gereja baru di JB untuk memurtadkan orang Islam.’
Kata Zainal Abidin lagi, pegawai Bahagian Penyelidikan MAIJ telah mengenal pasti golongan murtad serta mereka yang mempunyai kecenderungan untuk keluar daripada Islam bagi membanteras kegiatan yang membahayakan itu.
“Untuk makluman, sebelum ini kita begitu proaktif mengekang dan menyekat umat Islam daripada terjerumus menjadi murtad. Malah apa yang membanggakan kita telah berjaya memulihkan akidah mereka.
“Maknanya langkah kerajaan Johor menubuhkan PBMK memang kena pada masanya yang mana kita dapat memulihkan mereka yang terkeluar akidah menerusi cara tersusun,” katanya.
Tambah Zainal Abidin, pihaknya yakin kewujudan pusat tersebut mampu mengurangkan kebimbangan umat Islam berhubung kegiatan sebuah gereja radikal di Singapura yang mempunyai misi untuk melakukan kerja-kerja dakwah kepada umat Islam di negeri ini.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...