PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa negeri dijangka bertambah teruk berikutan cuaca panas yang akan berterusan sehingga beberapa bulan akan datang.
Kualiti udara di enam kawasan di semenanjung menurun kepada tahap tidak sihat berdasarkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) jika dibandingkan hanya tiga kawasan pada Sabtu.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan bacaan IPU tidak sihat melebihi 100 di Melaka (161), Bukit Rambai (135), Pelabuhan Klang (104), Port Dickson (120), Muar (125) dan Kemaman (108).
Bagaimanapun, kualiti udara di kebanyakan tempat lain di negara ini berada pada tahap baik dan sederhana.
Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Di Melaka, bacaan IPU meningkat daripada 68 kepada 161 sejak tiga hari lalu, bacaan tertinggi direkodkan di negara ini.
Ketua Pengarah JAS, Datuk Halimah Hassan berkata beberapa titik panas dikesan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean di Sumatra, Indonesia telah meningkat daripada 46 kepada 101 pada Sabtu.
Beliau menjelaskan kesan jerebu itu dibawa oleh angin Monsun Barat Daya ke Semenanjung yang bermula pada awal Jun.
"Sekiranya titik panas terus meningkat dan arah angin kekal seperti ini, situasi mungkin menjadi lebih teruk," katanya.
Halimah berkata, jerebu merupakan isu trans-sempadan yang memerlukan kerjasama oleh Malaysia, Brunie, Singapura, Thailand dan Indonesia menerusi Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
"Kesemua menteri dijadualkan akan bertemu di Kuala Lumpur pada Ogos untuk membincangkan pelan tindakan bagi menangani masalah itu," katanya.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, angin Monsun Barat Daya yang berakhir hingga September dijangka menyebabkan cuaca panas dengan ribut petir sekali sekala pada sebelah petang.
Suhu dijangka meningkat antara 34°C dan 36°C sepanjang tempoh itu dengan beberapa kawasan di bandar menjadi lebih panas kerana kekurangan persekitaran yang hijau.
"Ketika cuaca panas dan kering, orang ramai dinasihatkan supaya minum lebih banyak air dan mengelak terdedah kepada cahaya matahari," kata jurucakap itu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam menasihati rakyat supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah.
"Kami sedang memantau situasi dan akan mengeluarkan nasihat sewajarnya berdasarkan tahap kualiti udara.
"Buat masa ini, orang ramai, terutama yang mempunyai masalah penafasan perlu menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti luaran," katanya.
*sumber mstar online
0 comments:
Post a Comment