Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

23 August 2013

Apa itu Ops Cantas Khas?

Sejak beberapa hari ini, Op Cantas adalah antara topik yang paling banyak diperbualkan sama ada di kedai-kedai kopi atau di media sosial terutama selepas 5 pembunuh upahan ditumpaskan polis di Pulau Pinang dua hari lepas.
Mungkin ramai yang tahu dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah itu Op Cantas Khas yang dimulakan sejak 17 Ogos lalu.
Antara matlamat Op berkenaan adalah untuk mengesan kembali bekas banduan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (OD) yang disyaki aktif semula dalam aktiviti jenayah.
Mana-mana individu yang dikesan dalam Op Cantas akan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah untuk tempoh 24 jam.
op cantas 2
Jika tambahan masa diperlukan untuk siasatan lanjut, suspek akan direman selepas mendapat perintah mahkamah.
Tumpuan Op berkenaan banyak kepada individu yang terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.
Selain mengesan kembali bekas tahanan OD, ia juga memberikan penumpuan kepada aktiviti sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman.
Menurut kenyataan pihak PDRM, pelancaran Op Cantas adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa pencegahan jenayah adalah peranan dan fungsi Pasukan Polis sebagaimana termaktub dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.
Pencegahan Jenayah dilaksanakan melalui 2 cara, iaitu tindakan sebelum berlakunya jenayah dan tindakan selepas berlakunya jenayah.
Walaupun terdapat penurunan kadar jenayah ini tidak bermakna masyarakat di negara ini boleh berasa selesa dan selamat, sebaliknya kita semua perlu terus bekerjasama mengembelingkan usaha bagi membendung jenayah.
Tindakan pencegahan jenayah sebelum berlakunya jenayah adalah yang paling penting di mana tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama oleh masyarakat dan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak Polis.
Justeru itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah memulakan operasi bagi mencegah jenayah dengan menubuhkan satu pasukan khas yang dinamakan Op Cantas Khas, di bawah tanggungjawab ACP Kamarulzaman Mamat, Penolong Pengarah Tahanan/Sekatan D7B, Jabatan Siasatan Jenayah dan dibantu oleh Supt. Amir Rasid Derani, Superintendan Pencegahan D7A, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Buat permulaan, tumpuan diberikan kepada Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor dan juga Negeri Sembilan dan ia akan berterusan di semua kontinjen-kontinjen.
Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah yang dibantu dengan kekuatan pegawai dan anggota dari daerah-daerah yang terlibat ini adalah sebahagian daripada pencegahan jenayah.
Walaupun ia seolah-olah menyusahkan pengguna jalanraya di sekitar ibu kota dan Selangor, matlamatnya adalah baik, iaitu dapat membanteras penjenayah melalui pemeriksaan terhadap kenderaan dan individu di sekatan jalanraya.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...