Daftarlah sebagai ahli website ini di sini

23 August 2013

Kalimah Allah: Ketua Biskop gagal batal rayuan kerajaan

Ketua Biskop Roman Katolik Murphy Pakiam hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abu Samah Nordin sebulat suara menolak permohonan ketua biskop untuk membatalkan rayuan tersebut.

Mereka memutuskan bahawa perkara itu tidak akademik dan masih menjadi 'isu langsung'.

"Kami kini menolak permohonan perayu (ketua biskop)," kata beliau.

Dua lagi hakim ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusof.
NONEKetua biskop dan jurnal gereja, Herald Catholic Weekly telah mengemukakan usul untuk membatalkan rayuan itu atas alasan penyelesaian 10 perkara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserahkan kepada masyarakat Kristian pada tahun 2011.

Penyelesaian 10 perkara itu membenarkan import dan Bible dalam Bahasa Malaysia/Bahasa Indonesia dan dalam bahasa orang asal.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Abu Samah memutuskan bahawa surat Najib berhubung penyelesaian 10 perkara bertarikh 11 April 2011, dan dialamatkan kepada Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Ng Moon Hing, bukan sebahagian daripada perkara itu apabila isu tersebut dibawa ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Oleh itu, katanya, tidak apa-apa mengenainya untuk Mahkamah Rayuan mempertimbangkan dalam permohonan ketua biskop itu.
NONEMenurutnya, bekas menteri dalam negeri (Datuk Seri Hishammuddin 
Hussein) telah memfailkan afidavit dan menjelaskan isu Allah itu bukan sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara itu dan ia tidak terpakai dalam kes ini. 

Oleh itu, tambahnya, perkara itu bukan akademik dan masih menjadi isu langsung dan kontroversi tersebut belum dapat diselesaikan.

Mahkamah selanjutnya mempersoal ketua biskop kerana membawa usul itu sebelum rayuan yang betul didengar.

"Ia adalah satu tindakan drastik untuk membatalkan rayuan yang telah difailkan dengan betul di mahkamah ini dan untuk menafikan perayu hak untuk merayu," kata hakim.

Abu Samah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald' perlu diselesaikan.
    
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah', didengar pada 10 September ini.
    
Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.
    
Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah 'Allah' bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10perkara.
    
"Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan," katanya.
    
Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
    
Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.
    
Pada 16 Februari 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald adalah tidak sah.
    
Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak. 
    
Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah 'Allah' adalah salah, batal dan tidak sah.
    
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
     
Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Katolik.
    
Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.
    
"Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan," katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah 'Allah'.
    
Porres berkata kesannya ialah kalimah 'Allah' kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak.
    
"Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan," katanya.
    
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan.
   
"Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak," katanya.
    
Beliau berkata isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald manakala penyelesaian sepuluh perkara membincangkan isu kitab Bible.
    
Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Januari 2009.
    
Oleh itu, beliau berkata penyelesaian sepuluh perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja.
"Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perjara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah," kata Mubashir.
    
Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia
 
(Macma) berkata arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal namun tidak menyentuh kandungannya.
    
Beliau berkata Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian sepuluh perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.
    
Hishammuddin juga berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah.
    
Hishammuddin berkata keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.
Reaksi editor Herald Weekly
NONESementara itu, editor Herald Catholic Weekly, Father Lawrence Andrew (kanan) yang menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan hari ini, berkata beliau amat merasakan bahawa penyelesaian 10 perkara Najib adalah satu lagi bukti bahawa penggunaan kalimah 'Allah' sepatutnya diterima, kerana ia telah digunakan dalam Bible Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia 

"Sudah tentu kita kecewa, tetapi kita menerima keputusan itu dengan semangat muhibah," katanya sambil menambah bahawa ia bukan kalah keseluruhannya kerana rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan akan didengar pada 10 September ini.

Peguam S Selvarajah pula berkata, pasukannya bersedia untuk berdepan dengan rayuan kerajaan kerana penghakiman Mahkamah Tinggi memihak kepada mereka.

Satu arahan kabinet yang diwartakan pada tahun 1982, katanya, membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan ditambah lagi dengan Penyelesaian 10 perkara Najib.

"Oleh itu, arahan Menteri Dalam Negeri untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Herald adalah tidak rasional, kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskannya," kata Selvarajah.

Selain itu, tambahnya, terdapat faktor-faktor lain, selain penyelesaian 10 perkara itu yang akan mereka kemukakan apabila rayuan kerajaan itu didengar nanti.
Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.

Muafakat Asas Perpaduan Ummah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...